Monday, September 20, 2010

Makhluk Yang Paling Jahat Di Bawah Naungan Langit Adalah Ulamak?

Oleh ramziredang

"Bumi luas terbentang dan dihuni oleh berbagai bagai makhluk samada di atas daratan, di dalam bumi maupun di dalam lautan. Telah dikisahkan juga makhluk jin dan iblis yang jahat kerajaannya berpusat di dalam laut. Pada pandangan kita orang awam yang kurang ilmu, mungkin bagi kita makhluk yang paling jahat di muka bumi adalah iblis dan syaitan. Atau mungkin kita juga beranggapan yahudi dan nasrani adalah makhluk yang paling jahat. Tetapi lain yang telah dipesan oleh junjungan Rasulullah saw yang tersayang.

Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata: Telah bersabda Rasulullah saw:"sudah hampir sampai satu masa di mana tidak tinggal lagi daripada islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid masjid mereka tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat jahat makhluk yang ada di bawah naugan langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali.(hadis riwayat baihaqi)

Melihat kepada suasana hidup kita hari ini yang tidak tenteram, tidak selamat dan penuh dengan bala yang menakutkan, tidakkah kita terasa inilah zaman yang telah disabdakan oleh Rasullullah saw seperti hadis di atas? 'Fitnah' yang disebut oleh Rasulullah di atas adalah bermaksud 'kerosakan, dosa, bala, kehancuran umat ataupun iman umat yang tergelincir'. Kenapa ulama disebut sebagai makhluk yang paling jahat di atas mukabumi ini padahal tugas ulamak adalah sebagai pewaris Nabi?

Jelaslah kerana mereka telah menyeleweng dari tugas mereka. Bila menyeleweng dari tugas, jadilah ia dari orang yang paling mulia bertukar ia menjadi orang yang paling jahat. Umpama 'polis' tugasnya menjaga keamanan dan mencegah jenayah. Tentu sahaja polis akan disanjung dan dihormati kerana menjaga keselamatan rakyat. Tetapi jika sekiranya polis berperangai seperti penjenayah dan bersubahat dengan penjenayah, maka kucar kacirlah kehidupan masyarakat. Tiada lagi tempat bergantung dan berlindung bagi masyarakat. Maka jadilah polis dikeji dan dihina jika tidak jujur dalam melakukan tugasnya.

Firman Allah dalam surah An Nisa Ayat 105," Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)al kitab(al quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu( melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat"

Jika diambil mithalnya pada hari ini, tentulah jelas kepada kita ulama yang macamana telah menjadi pembela kepada pengkhianat. Pengkhianat yang telah mengkhianati amanah Allah dan Rasul. Lain yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul, lain pula yang mereka redha berlaku di sekeliling masyarakat. Kerana mereka, masyarakat yang jahil sentiasa berada di dalam kesesatan. Kerana ilmu mereka tidak dicurahkan dengan sebenar benarnya. Kata kata mereka tidak seiring dengan ilmu mereka. Kekadang mereka menyeru kepada kebaikan tetapi mereka tidak mencegah kepada kemungkaran. Padahal tidak dapat tidak, mereka kena dua dua, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Tidak boleh hanya salah satu. Tidak boleh hanya menyeru kepada kebaikan sementara kejahatan dibiarkan berleluasa. Lagilah teruk jika membiarkan kejahatan tetapi langsung tidak menyeru kepada kebaikan

Apa yang ada di sekeliling kita hari ini adalah, ulama yang teragak agak menyeru sikit sikit kepada kebaikan, tetapi langsung tidak mencegah kepada kemungkaran. Mereka hanya merasa tugas mereka hanya di dalam masjid. Mereka hanya merasa ilmu mereka hanya untuk orang yang suka kepada masjid. Sedangkan orang yang bergelumang dengan dosa tidak didekati dan dibimbing. Mereka langsung tidak merasa tiap dosa yang dilakukan oleh orang yang berzina, akan juga ditanggung oleh ulamak selagi mereka tidak mencegahnya. Tidakkah mereka merasa tiap teguk arak yang mengalir ditekak para peminumnya, akan juga ditanggung dosa oleh ulamak selagi mereka tidak bersungguh sungguh menyeru diharamkannya.

Mereka juga merasa aman damai bersekongkol dengan golongan yang jelas melanggar perintah Allah. Maka jadilah mereka seperti dalam firman Allah di atas,"pembela kepada pengkhianat"

Seluruh dunia Islam hari ini, samada di palestine, iraq, afghanistan, malaysia dan di mana sahaja, penuh dengan bala bencana. Umat Islam dihina, dibunuh disembelih dengan sewenang wenangnya. Seolah olah tiada lagi keberanian di kalangan umat islam menentang musuh. Tentu sahaja semua ini berlaku kerana ulamak lebih suka berdiam diri. Hinggakan ada setengah negara Islam menjemput pihak zionis masuk ke negara mereka untuk menyerang dan menyembelih umat islam. Apakah di negara tersebut tidak ada ulamak yang dilantik oleh kerajaan? Tentu ada tetapi mereka adalah ulamak yang lebih suka menjual ilmunya dengan harga yang murah. Maka tidak dinasihatinya para pemerintah supaya menjauhi yahudi dan nasrani, malah diredhainya pula para pemerintah bersekongkol dengan musuh. Ilmu mereka tidak dicurahkan secara sepenuhnya kerana takut hilang punca pendapatan. Tidak terkecuali juga ulamak di malaysia. Kekadang apa yang dilakukan oleh ulamak di Malaysia, cara hidup dan berpakaian, buat rakyat terkejut..ALAMAK!!Ulamak???

Tugas ulamak adalah berdakwah. Tetapi berapa ramaikah yang telah berjaya diIslamkan oleh ulamak kerana tugas dakwahnya? Jangankan kata hendak mengIslamkan orang kafir, sebaliknya iman orang Islam pula yang dibiarkan tergelincir dan bertukar agama. Tukar agama secara langsung dan tidak langsung. Yang tidak langsung seperti adanya perayaan perayaan yang di'sambutkeliru' dengan adat agama lain, cara hidup yang penuh hiburan dan macam macam maksiat lagi.

Dari hadis Huzaifah Ibnu Yaman ra berkata: manusia bertanya kepada Rasulullah saw tentang kebaikan sedangkan aku bertanya kepada baginda tentang keburukan kerana khuatir jangan jangan menimpaku. Maka aku bertanya: wahai Rasulullah, sebelum ini kita berada di zaman jahilliyah dan keburukan, kemudian Allah mendatangkan kebaikan ini. Apakah setelah ini ada keburukan? Baginda bersabda: ada. Aku bertanya; Apakah setelah keburukan itu akan datang kebaikan? Baginda bersabda:Ya, akan tetapi di dalamnya ada dakhanun.
Aku bertanya: Apakah dakhanun itu? Baginda menjawab: Sesuatu kaum yang mensunnahkan selain sunnahku dan memberi petunjuk dengan selain petunjukku. Jika engkau menemui mereka maka ingkarilah(jauhi dan jangan ikut mereka). Aku bertanya lagi: Apakah setelah kebaikan itu ada keburukan? Baginda bersabda : Ya, Du'atun ala abwabi jahannam(para penyeru ke pintu pintu neraka jahanam). Barang siapa yang mengikutinya, maka akan dilemparkan ke dalamnya(neraka). Aku bertanya: wahai Rasulullah, berikan ciri ciri mereka kepadaku. Baginda bersabda: mereka mempunyai kulit seperti kita dan berbahasa dengan bahasa kita.
Aku bertanya lagi: Apa yang engkai perintahkan kepadaku jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Berpegang teguhlah pada jamaah muslimin dan imamnya. Aku bertanya: Bagaimana jika tidak ada jamaah maupun imamnya? Baginda bersabda : Hindarilah semua firqah itu walaupun dengan menggigit dahan pokok hingga maut menjemputmu sedangkan engkau dalam keadaan seperti itu.

Jika kita perhatikan hadis di atas dan di teliti dengan cara kehidupan hari ini, serta membandingkan dengan ciri ciri ulamak pada hari ini, tentu dengan jelas kita dapat mengenali siapakah ulamak ulamak yang telah disebutkan oleh Rasulullah dengan jelas itu.

Maka jauhilah kita dari mereka itu kerana mereka hanya akan mendatangkan kerosakan hidup kita di dunia, dan menjerumuskan kita ke dalam neraka yang kekal abadi. Kerana merekalah Allah menurunkan bermacam macam bala. Kerana merekalah hidup yang berkah dan aman telah Allah angkat dari umat, sepertimana kehidupan kita hari ini yang penuh dengan macam macam bala dan bencana yang membimbangkan. Maka itulah ulamak yang sejahat jahat makhluk di bawah naungan langit, sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. Nauzubillah.


Dipetik daripada DetikDaily 20/9/2010 Posted on Saturday, September 18 @ 04:52:58 PDT by abu_uwais

Tuesday, June 29, 2010

Abdul Wahab Nafi Sertai UMNO

Tuesday, June 29, 2010

Aktivis Sunnah Wal Jamaah, Abdul Wahab Abdullah semalam, menafikan dirinya menjadi sebahagian daripada 40 ulama muda yang menyertai UMNO seperti yang dihebahkan media sebelum ini.

Dalam satu sidang media di sini semalam, Abdul Wahab berkata, tidak pernah mengisi sebarang borang untuk menyertai parti itu dan semuanya hanya tipu muslihat yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam UMNO yang dilihat cuba mencari publisiti untuk kepentingan politik mereka.

Menurutnya, tujuan sebenar beliau hadir ke majlis itu adalah mewakili Persatuan Al-Islah Perlis untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.
“Saya tidak tahu mengenai penyerahan borang menyertai UMNO itu, kerana saya pergi untuk tujuan lain iaitu bagi mendapatkan imej baik dalam Persatuan Islah, bukan untuk menyertai UMNO. Tetapi agenda itu disusun untuk tujuan lain.“Perkara itu seperti cuba memerangkap golongan ulama untuk menyertai parti itu,” katanya dalam sidang media menafikan penyertaan beliau dalam UMNO, di Balai Islam sekolah Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (Madi), Jejawi, di sini, semalam.Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis, Yaakub Abu Seman; Pegawai Perhubungan Awam Pas, Khairi Hassan dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Perlis, Khoo Yang Chong.

Sementara itu, Yaakub berkata, beliau kesal dengan kejadian itu kerana ada sebahagian daripada mereka yang berada di majlis itu terpedaya dengan mainan politik Shahidan.

Menurutnya, beberapa individu dari Perlis yang hadir dalam majlis itu mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tujuan lain, sebaliknya terperangkap dengan mainan politik bekas Menteri Besar itu.

“Pengaruh Shahidan semakin menurun jadi dia perlu lakukan sesuatu untuk menarik perhatian orang,” katanya.

“Sepatutnya, jika mahu berpolitik, berpolitiklah dengan cara baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, Abdul Wahab adalah tenaga pengajar di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (Madi), salah sebuah sekolah kelolaan Pas Perlis. -SinarHarian

SIDANG MEDIA 'PENAFIAN SERTAI UMNO'


Penafian menyertai UMNO bersama 40 ulama muda


Ustaz Abdul Wahab Abdullah, seorang ustaz yang hadir dalam majlis penyertaan 40 ulama muda kedalam UMNO tampil membuat penafian berhubung penyertaannya kedalam UMNO dalam sidang media khas yang di adakan di Madrasah Diniah Islamiah (MADI), semalam.
Beliau menyatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan tentang penganjuran majlis tersebut adalah untuk penyerahan borang penyertaan mereka kedalam UMNO. “Saya tidak tahu langsung tentang penganjuran majlis ini. Kedatangan kami adalah untuk membersihkan nama persatuan kami”, kata beliau.

Beliau menyatakan bahawa kehadirannya ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah untuk membersihkan nama persatuannya yang membawa aliran fahaman Wahabi yang dikatakan terlibat dengan Jemaah Islamiah.

Beliau datang bersama beberapa orang rakannya daripada Perlis. Beliau dimaklumkan rombongan mereka ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah untuk menjaga “survivor” persatuannya, Persatuan Al Islah Negeri Perlis kerana dikaitkan dengan JI.

“Saya tak pernah fikir untuk masuk UMNO dan akan diperlakukan sebegini”, kata beliau dengan nada kecewa.

Ustaz Abdul Wahab Abdullah adalah guru di Madrasah Diniah Islamiah (MADI), sebuah sekolah kelolaan Badan Perhubungan PAS Perlis. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Dewan Ulama PAS Perlis.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ustaz Saleh Adam, Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Sdr. Hairy Hasyim, YDP PAS Kawasan Kangar,Ustaz Yaakob Abu Seman, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis dan Cikgu Khoo Yang Chong, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perlis.

Petikan: http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/2010/06/panas-lagi-ulamak-nafi-sertai-umno.html

Friday, April 16, 2010

Jantung Bukan Hati

Oleh: Dr.Mohd Asri Zainul Abidin

Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.

Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.

Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.

Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!


Tuesday, February 16, 2010

Pemimpin Umno jahil fadilat hayati perjuangan Rasulullah

Salmah Mat Hussin & Hafiz Irwan
KOTA BHARU, 17 Feb: Apakah pemimpin Umno masih enggan mengakui mereka jahil agama apabila gagal membezakan fadhilat perarakan Maulidur Rasul dengan program menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w.

Menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. boleh dilakukan dengan pengkisahan kehidupan baginda melalui ceramah atau kuliah dari lahir sehingga wafat sedangkan perarakan Mualidur Rasul di atas jalan tidak mampu menghayati sirah perjuangan baginda dalam erti kata sebenar.

Namun hairannya, pemimpin Umno masih mempertahankan perbuatan tersebut yang dianggap sudah menjadi budaya dan tanpa mengira manfaatnya.

Tidak ramai sedar perarakan Mauludir Rasul sempena 12 Rabiul Awal kalendar hijrah tiada di Kelantan sejak 20 tahun lalu.

Majlis Maulidur Rasul hanya disambut di masjid-masjid atau surau dengan ceramah agama iaitu sendat dengan pengisian majlis ilmu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjelaskan perkara itu berkata, umat Islam jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa kadang-kadang tidak serupa dengan kehendak agama.

“Sebagai contoh Maulidur Nabi Muhammad s.a.w. yang disambut secara besar-besaran khususnya di negeri-negeri lain sebenarnya tidak ada sebarang fadhilat, tidak sebagaimana bulan Ramadan.

“Bulan Ramadan memang ada fadhilat dan kelebihannya, tetapi bulan Maulud tidak ada apa,” ujarnya kepada pemberita di sini.

Ekoran itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai kompromi demi politik.

Menurutnya, tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, mewujudkan suasana Islam dalam sebuah negara sebenarnya sudah dianggap maulud.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, upacara perarakan yang diadakan ketika menyambut Maulidur Rasul bukan perkara wajib bahkan sebaliknya boleh menjurus kepada perbuatan bidaah.

“Tuduhan pentadbiran Lim Guan Eng sebagai anti-Islam itu saya tidak tahu, apa yang menarik di sebalik haru-biru di Pulau Pinang dalam persoalan ini ialah Umno seolah-olah dilihat cuba mengutamakan perarakan.

“Besarnya sambutan hari Maulidur Rasul bukan pada perarakan. Nabi s.a.w. sendiri tidak pernah menuntut umatnya supaya berbuat begitu,” katanya.

Menurutnya tiada sebarang manfaat upacara perarakan melainkan penghayatan di sebalik sejarah Maulidur Rasul menjadi tuntutan Islam.

“Malangnya Umno hanya asyik membesar-besarkan perarakan daripada penghayatan, ini menunjukkan betapa cetek fahaman Umno tentang ilmu agama,” katanya.

Petikan:

Thursday, November 26, 2009

Imam al-Syafi'i Adalah Wahhabi?

Posted on Wednesday, November 25 @ 16:58:59 PST by reformis Oleh myghaz

"
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
akob73@ yahoo.com

Melihatkan kepada tajuk artikel ini pasti ramai yang terpinga-pinga bahkan mungkin ada yang mengurut-urut dada kerana sesak nafas seolah-olah satu malapetaka besar bakal menimpa umat Islam di Malaysia yang terkenal dengan kepatuhan mereka kepada mazhab Syafi’i.

Namun janganlah runsing atau gundah-gulana kerana tajuk yang kelihatan seperti boleh menimbulkan kontroversi ini hanyalah bertujuan untuk membuka minda mereka yang keliru dengan isu Wahhabi yang dimainkan oleh beberapa tokoh di akhbar-akhbar tempatan beberapa minggu kebelakangan ini.


Sesetengah golongan yang menganggap diri mereka sebagai pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan penganut mazhab Syafi’i yang tulen amat menentang budaya talfiq atau mengikuti hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab.

Umat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu diwajibkan untuk hanya berpegang kepada mazhab Syafi’i sahaja bagi kekal sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka yang mengamalkan talfiq maka tercemarlah pemikiran mereka dan jadilah mereka ini kelompok Wahhabi. Tetapi apa yang menghairankan adalah, Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menyuruh sesiapapun untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam al-Syafi’i amat menganjurkan anak murid serta pengikutnya untuk menimbang pandangannya dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sebelum menerimanya.

Dalam erti kata lain amalan talfiq itu tidak pernah ditentang oleh Imam al-Syafi’i sendiri. Menurut Imam al-Syafi’i: “Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu.” (Riwayat al-Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafie, Ibn Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibn al-Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibn Hibban di dalam sahihnya.) Beliau juga pernah berkata: "Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah s.a.w menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya (meninggalkannya) sama ada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku." (Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibn al-Qayyim di dalam al-I’lam dan al-Fullani) Namun apabila ada golongan di Malaysia yang mengikuti saranan Imam al-Syafi’i ini maka mereka dianggap telah menderhaka kepada Mazhab Syafi’i versi Malaysia yang dipandang paling tulen.

Melafazkan niat Usholli ketika mengerjakan solat fardu mahupun sunat merupakan ciri-ciri yang penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab Syafi’i. Jika ada yang berpegang kepada pendapat tidak perlu berniat Usholli ketika solat maka tipislah harapannya untuk mendapat tauliah mengajar agama di sesetengah negeri. Anehnya jika kita buka kitab al-Umm maka tidak wujud satu batah barispun yang mengajar kita lafaz niat Usholli mahupun Nawaitu. Bagi Imam al-Syafi’i niat itu adalah perbuatan di dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir. Di dalam al-Umm beliau berkata: “Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”

Jika selepas solat pula tidak diamalkan zikir beramai-ramai dengan suara yang kuat, pengamalnya berkemungkinan tinggi akan terus dicop sebagai pengikut ajaran Wahhabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita buka sekali lagi kitab al-Umm dan lihat apa yag diperkatakan oleh Imam al-Syafi’i tentang zikir lepas solat. Menurut beliau: “Saya (Imam al-Syafi'i) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah Azza wa jalla telah berfirman: “... dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya. ..” (al-Israa' (17):110) Iaitu - Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri. “ Imam al-Baihaqi seterusnya memperjelaskan mazhab al-Syafi’i dalam kitabnya Sunan al-Kubra: “Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr semula – pen).” Sekian pandangan sebenar Imam al-Syafi’i tentang zikir selepas solat tetapi malangnya wujud sesetengah tokoh di Malaysia ini beranggapan mereka itu lebih Syafi’i daripada Imam al-Syafi’i itu sendiri.

Mengkritik amalan mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti ritual tahlil ketika kenduri arwah atau membaca al-Qur’an di tepi kubur bukanlah satu tindakan yang bijak di Malaysia. Si pengkritik pasti akan dihambur dengan pelbagai kata-kata berbentuk celaan dan yang paling popular tentulah tuduhan sebagai Wahhabi. Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutny a iaitu firman Allah: “…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Al-Najm (53) : 39) dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Namun kata-kata Imam al-Nawawi ini bagaikan tiada nilai bagi pembela-pembela mazhab Syafi’i di Malaysia.

Bagi mereka yang tidak mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaja dinggap menderhaka kepada mazhab Syafi’i bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Beginilah sikap mereka yang mengaku sebagai pejuang mazhab Syafi’i di Malaysia, sudahlah keluarga arwah sedang bersedih dengan pemergian insan yang mereka sayangi, dipaksa pula keluarga arwah tersebut untuk menyediakan jamuan makan agar perut mereka dapat diisi. Adakah ini benar-benar pandangan mazhab Syafi’i? Di dalam kitab I’anatu al-Talibin ada disebut tentang isu kenduri arwah menurut mazhab al-Syafi’i: “Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati adalah bidaah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis sahih dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata: “Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Indahnya pandangan mazhab Syafi’i yang asal berbanding dengan pegangan mereka yang mengaku Syafi’i di Malaysia. Masyarakat sekeliling sepatutnya membantu dalam menggembirakan keluarga arwah dengan membawa makanan kepada mereka. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di dalam al-Wajiz Fi Fiqhi al-Imam al-Syafi’i telah berkata: “Disukai membuat makanan untuk keluarga si mati.” Jangan pula selepas ini Imam al-Ghazali juga dikatakan Wahhabi.

Sekiranya ketika urusan pengkebumian jenazah tidak dilakukan amalan talqin, pasti ia akan menjadi topik bualan yang hangat di sesebuah kampung kerana ia dianggap telah mencemar tradisi orang Melayu yang berteraskan mazhab Syaf’i. Tapi hakikatnya amalan talqin ini tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam al-Syafi’i itu sendiri. Hanya sahaja ulama bermazhab syafi’i yang kemudian menganggap ianya sunat. Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil di dalam kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i telah berkata: “Mengenai Talqin, yang popular di kalangan masyarakat yang dilakukan setelah penguburan mayat, di mana salah seorang berdiri di sampingnya untuk mengajari mayat dengan lafaz berikut: “Hai Fulan bin Fulan, ingatlah kalimah yang engkau pegang sampai masuk ke kubur, iaitu bersaksi bahawa tidak adal Illah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah…” dan seterusnya, atau lafaz lain yang semakna, maka kami tidak mendapatkan keterangan dari Imam al-Syafi’i tentang masalah ini. Kami hanya mendapatkannya dari ulamak mutaakhkhirin (yang datang kemudian) dari para pengikut mazhab Imam al-Syafi’i.”

Hiasan-hiasan dikuburan seperti binaan kubah terutamanya di kuburan mereka yang di anggap sebagai para wali atau peneraju sesebuah tarekat merupakan satu perkara yang terima sebagai baik bagi pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Suasana yang kondusif ini amat bersesuaian untuk mereka melakukan ibadah-ibadah tertentu di kawasan perkuburan tersebut. Yang menghairankan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menganjurkan ibadah-ibadah seperti tawassul, membaca al-Qur’an, tawaf atau menyembelih haiwan korban di kawasan perkuburan. Menurut Ibnu Taimiyyah r.h di dalam Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah.” Tambahan pula Imam al-Syafi’i sendiri melarang dinaikkan sebarang binaan di atas kubur. Menurut beliau di dalam al-Umm: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.” Imam al-Nawawi r.h pula di dalam kitab Majmu’ menyatakan: “Imam al-Syafi’i dan para sahabatnya mengatakan bahawa termasuk hal yang dibenci adalah menembok kuburan, menuliskan nama si mati atau yang lainnya dan juga membangunkan binaan di atasnya. Ini tiada perbezaan pendapat di kalangan kita. Dengan mazhab (pendapat) ini pula Malik, Ahmad, Daud dan majoriti ulama telah berfatwa.” Tetapi pandangan sebegini tidak boleh diajarkan kepada umat Islam di Malaysia kerana takut ia boleh mengelirukan orang awam walaupun tidak dapat dinafikan ia adalah pandangan Imam al-Syafi’i.

Memadailah dengan beberapa contoh di atas yang diketengahkan bukan bertujuan untuk mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan sesiapa. Tapi ia sekadar untuk mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud di kalangan mazhab-mazhab dalam Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana tidak berpegang kepada mazhab Syafi’i. Walaupun seseorang itu pernah belajar dipondok mahupun lulusan dari Institut Pengajian Tinggi di Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa dia telah menguasai semua cabang ilmu. Qatadah pernah berkata: “Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan pendapat), maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya.” Bila kefahaman tentang perbezaan pendapat yang ada dalam Islam ini tidak berada ditahap yang memuaskan, maka pandangan yang sebenarnya berasal daripada Imam al-Syafi’i turut dipolemikkan sebagai Wahhabi. Jangan nanti pandangan Imam al-Syafi’i terpaksa diketepikan demi untuk menjaga kesinambungan Mazhab Syafi’i versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab yang boleh diamalkan di negara ini.

Sebagai nasihat kepada semua hayatilah sebuah riwayat daripada ‘Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata: “Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulama), kerana jika dia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpercaya kebenarannya) dari ilmu yang dia yakini.” Berlapang dadalah dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dicatat oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus di 09:06 "

Sunday, November 8, 2009

Dr Asri ulas isu idea pembaharuan yang dilabel Wahabi dan kesesatan

Mstar/Ahad November 8, 2009

KUALA LUMPUR: Tokoh agama yang sedang hangat didebatkan kerana idea tajdidnya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin melahirkan rasa terkejutnya apabila terbaca soal 'sesat menyesat' pula dibangkitkan di sebuah akhbar perdana semalam.

Dr Asri, ketika ditemui di ibu kota lewat malam tadi, mengulas temubual dengan seorang wakil JAIS, yang antara lain, menyatakan antara kesalahan akidah kelompok Wahabi ialah pembahagian perbincangan tauhid kepada tiga; tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat.

"Inilah yang dianggap kesalahan akidah puak ini. Wakil JAIS itu barangkali lupa bahawa perbahasan tauhid seperti ini dipakai dalam pendidikan sekolah dan universiti tempatan.

"Bahkan inilah yang dipakai dalam ratusan universiti di dunia Islam, di Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Qatar, Mesir dan berbagai negara lagi. Juga separuh umat Islam Indonesia dan separuh umat Islam di selatan Thai. Apakah mereka ini semuanya Wahabi dan sesat?!

"Inilah kes sesat-menyesat yang terbesar dalam sejarah umat Islam. Amat malanglah, jika umat Islam berbalah disebabkan kedengkian dan hasad lalu pergi ke daerah sesat-menyesat seperti ini," kata pakar hadis yang berusia 38 tahun ini.

Beliau juga sedar ada kelompok tertentu yang apabila sahaja melihat atau mendengar tentang idea-dea pembaharuan terus sahaja dilabelkan wahabi.

Kata Dr Asri, satu ketika dulu, 'senjata' ini (baca: Wahabi) telah dihalakan kepada Prof Hamka, Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi dan ramai lagi. Senjata fitnah ini jugalah, kata beliau, dikenakan oleh sesetengah kelompok agama kepada tokoh-tokoh reformis sepanjang sejarah.

"Apabila habis perkakas hujah, lalu dipakai perkakas fitnah’. Apakah itu Wahabi? Ia masih lagi misteri. Orang seperti saya bukan susah hendak cari kesesatan pemikiran jika ada.

"Saya bukan insan yang ghaib bersembunyi, saya ada tulisan, ada buku, ada siaran media elektronik dan berbagai lagi yang pemikiran saya boleh disiasat menerusi ucapan dan tulisan. Mengapa membuat tuduhan tanpa mendatangkan bukti?!," kata Dr Asri dalam satu wawancara dengan mStar Online.

Dr Asri teringat kata-kata Prof Hamka menjawab sikap suka memfitnah ini. Kata Hamka, "Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha.

"Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua.

"Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah!," jelas Dr Asri.

Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampaikan as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal.

Kata Dr Asri, nasib yang sama menimba insan yang jauh lebih mulia, Nabi Muhammad s.a.w, daripada seorang yang digelar al-Amin, lalu dipanggil tukang sihir dan gila. Ini semua akibat dari tidak mampu bersaing di pasaran pemikiran.

"Padahal, dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan rasulNya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah," kata bekas Mufti Perlis yang kini pensyarah USM.

"Namun apabila habis perkakas hujah, ada yang guna perkakas fitnah pula," kata Dr Asri.

Isu penanhana Dr Asri telah dibangkitkan oleh ramai kelompok terutama dari golongan ahli akademik, politik dan juga ulamak.

Pada malam Sabtu lepas, Dr Asri telah mengadakan sebuah sidang akhbar menjawab segala pertuduhan fitnah yang terkandung di dalam Memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Keesokan harinya pula, Dr Asri telah ditahan oleh pihak Jabatan Agama Islam Malaysia (JAIS) di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Isu Dr Asri: Dr Azwira ketuai KIMM desak 8 tuntutan; buang senjata tuduhan Wahabi kepada tokoh agama berbeza pendapat

KUALA LUMPUR: Lebih dari 100 orang tokoh agama dan pendakwah yang menamakan diri mereka 'Kelompok Intelektual Muslim Muda' (KIMM) telah mendesak agar lapan tuntutan diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa agama dalam sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di ibu negara lewat malam semalam.

Salah seorang dari mereka, Dr Azwira Abd Aziz, yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertindak sebagai jurucakap manakala Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim pula hadir sebagai penasihat KIMM.

"Kelompok Intelektual Muslim Muda ingin membuat 8 tuntutan kesan dari perkembangan dan situasi yang melanda masyarakat Islam sekarang, yang ditimbulkan oleh pihak media hasil dari apa yang berlaku baru-baru ini," kata Azwira.

Lapan tuntutan yang dikemukakan ialah:

1) Meminta pihak berkuasa agama ketepikan sikap prejudis terhadap para ulama/pendakwah seperti membuat tuduhan sesat tanpa bukti dan alasan yang kukuh.

2) Meminta diberi layanan yang adil kepada semua pendakwah tanpa prejudis seperti tolak permohonan tauliah dan ceramah tanpa sebab.

3) Meminta supaya dibuang senjata tuduhan Wahabi kepada golongan agama/tokoh agama hanya kerana berbeza pendapat dengan niat jahat.

4) Membantah mana-mana pihak dalam institusi agama di Malaysia menuduh Kerajaan Arab Saudi dan ulama-ulamanya. Di samping tuduhan itu salah, ia juga memberi implikasi buruk kepada hubungan kedua-dua negara.

5) Hentikan cercaan terhadap tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Imam Mazhab 4, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Syatibi, Muhammad Abd Wahab dan mana-mana tokoh ilmuan Islam.

6) Meminta ruang dakwah yang adil diberikan kepada aliran yang tidak difatwakan sebagai sesat.

7) Meminta agar sesiapa yang memiliki kelulusan pengajian Islam/Agama yang sah dikecualikan daripada tauliah.

8) Meminta agar sesuatu amalan/fahaman yang berbeza dengan amalan setempat tidak dikategorikan sesat, selagi mana ia bersandarkan kepada dalil-dalil dan kaedah yang sah.

Azwira berharap tuntutan-tuntutan ini diberi perhatian segera pihak-pihak tertentu agar perkembangan tentang syariat Islam dapat berjalan dengan maju dan pesat.

Ketika ditanya adakah tuntutan ini dilakukan ekoran isu penahanan Dr Asri oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Azwira berkata, "kami membantah cara penahanan itu dilakukan."

Azwira juga menyentuh soal isu tauliah yang dibangkitkan oleh pihak JAIS.

"Saya sendiri adalah Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan pensyarah di Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah. Saya pernah memohon tauliah dan telah dipanggil untuk ditemuduga oleh pihak JAIS tetapi akhirnya tidak diberi tauliah tanpa diberi sebarang alasan. Begitu juga dengan ramai lagi ahli akademik dalam KIMM yang pernah memohon tauliah tetapi masih tidak dapat sehingga sekarang," kata Azwira yang juga penulis buku 'Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar?

Beliau juga hairan di dalam kes Haji Kahar Ahmad, yang ditangkap kerana mengamal ajaran sesat dan mengaku dirinya 'Rasul Melayu', kenapa isu tauliah tidak timbul.

"Bagaimana pula seorang pendakwah yang memiliki kelulusan pengajian Islam disekat sampaikan ilmu agama?," bidas Azwira.

Pandangan Azwira ini turut disokong oleh Shahidan.

"Seorang pakar motivasi yang bercakap pasal agama tidak perlukan tauliah tetapi seorang pendakwah agama yang bercakap pasal motivasi perlukan tauliah. Jadi ustaz-ustaz yang hendak berdakwah perlu ada 14 tauliah dari semua negeri-negeri di Malaysia," soal Shahidan.

Sementara itu, Shahidan, yang juga bekas Menteri Besar Perlis pula berkata, tuduhan yang dibuat oleh seorang individu seperti yang dilaporkan di dalam akhbar perdana semalam berkenaan soal Wahhabi dan isu sesat telah mengelirukan masyarakat Islam di negara ini.

"Saya dituduh jadi Wahhabi selama 12 tahun semasa menjadi Menteri Besar Perlis. Saya tidak tahu apa itu Wahhabi. Wahhabi ini diberi oleh musuh-musuh Islam dan hanya mula diperkatakan selepas peristiwa September 11. Ini adalah satu niat jahat melabelkan sesiapa yang tidak sealiran sebagai Wahhabi.

"Dulu soal kafir mengkafir, kini timbul soal sesat pula. Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri telah memutuskan bahawa Wahhabi itu tidak sesat tetapi fakta ini telah disembunyikan dari orang ramai sehinggalah dibangkitkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim baru-baru ini.

"Orang Islam telah dikelirukan. Apa yang tersiar tentang Wahhabi semalam jelas bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh Dr Mashitah," kata Shahidan.

Katanya lagi, "Ianya satu tuduhan yang berat apabila saya dan orang-orang Perlis telah dilabel sebagai Wahhabi dan sesat. Saya akan pergi mengadap tuanku Raja Perlis untuk berbincang tentang hal ini."

Tambah Shahidan, beliau juga amat berbesar hati dengan pelawaan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang membenarkan tokoh agama dari Perlis untuk mengadakan ceramah agama pada bila-bila masa dan di mana sahaja di negeri Johor.

Shahidan merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Johor semalam di mana peraturan pihak berkuasa agama negeri Johor tidak memerlukan seseorang pendakwah mendapatkan sebarang surat tauliah khas untuk mengadakan ceramah agama tetapi perlu merupakan seorang penceramah agama yang diiktiraf.


Mstar/Ahad November 8, 2009