Thursday, November 26, 2009

Imam al-Syafi'i Adalah Wahhabi?

Posted on Wednesday, November 25 @ 16:58:59 PST by reformis Oleh myghaz

"
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
akob73@ yahoo.com

Melihatkan kepada tajuk artikel ini pasti ramai yang terpinga-pinga bahkan mungkin ada yang mengurut-urut dada kerana sesak nafas seolah-olah satu malapetaka besar bakal menimpa umat Islam di Malaysia yang terkenal dengan kepatuhan mereka kepada mazhab Syafi’i.

Namun janganlah runsing atau gundah-gulana kerana tajuk yang kelihatan seperti boleh menimbulkan kontroversi ini hanyalah bertujuan untuk membuka minda mereka yang keliru dengan isu Wahhabi yang dimainkan oleh beberapa tokoh di akhbar-akhbar tempatan beberapa minggu kebelakangan ini.


Sesetengah golongan yang menganggap diri mereka sebagai pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan penganut mazhab Syafi’i yang tulen amat menentang budaya talfiq atau mengikuti hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab.

Umat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu diwajibkan untuk hanya berpegang kepada mazhab Syafi’i sahaja bagi kekal sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka yang mengamalkan talfiq maka tercemarlah pemikiran mereka dan jadilah mereka ini kelompok Wahhabi. Tetapi apa yang menghairankan adalah, Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menyuruh sesiapapun untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam al-Syafi’i amat menganjurkan anak murid serta pengikutnya untuk menimbang pandangannya dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sebelum menerimanya.

Dalam erti kata lain amalan talfiq itu tidak pernah ditentang oleh Imam al-Syafi’i sendiri. Menurut Imam al-Syafi’i: “Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu.” (Riwayat al-Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafie, Ibn Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibn al-Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibn Hibban di dalam sahihnya.) Beliau juga pernah berkata: "Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah s.a.w menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya (meninggalkannya) sama ada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku." (Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibn al-Qayyim di dalam al-I’lam dan al-Fullani) Namun apabila ada golongan di Malaysia yang mengikuti saranan Imam al-Syafi’i ini maka mereka dianggap telah menderhaka kepada Mazhab Syafi’i versi Malaysia yang dipandang paling tulen.

Melafazkan niat Usholli ketika mengerjakan solat fardu mahupun sunat merupakan ciri-ciri yang penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab Syafi’i. Jika ada yang berpegang kepada pendapat tidak perlu berniat Usholli ketika solat maka tipislah harapannya untuk mendapat tauliah mengajar agama di sesetengah negeri. Anehnya jika kita buka kitab al-Umm maka tidak wujud satu batah barispun yang mengajar kita lafaz niat Usholli mahupun Nawaitu. Bagi Imam al-Syafi’i niat itu adalah perbuatan di dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir. Di dalam al-Umm beliau berkata: “Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”

Jika selepas solat pula tidak diamalkan zikir beramai-ramai dengan suara yang kuat, pengamalnya berkemungkinan tinggi akan terus dicop sebagai pengikut ajaran Wahhabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita buka sekali lagi kitab al-Umm dan lihat apa yag diperkatakan oleh Imam al-Syafi’i tentang zikir lepas solat. Menurut beliau: “Saya (Imam al-Syafi'i) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah Azza wa jalla telah berfirman: “... dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya. ..” (al-Israa' (17):110) Iaitu - Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri. “ Imam al-Baihaqi seterusnya memperjelaskan mazhab al-Syafi’i dalam kitabnya Sunan al-Kubra: “Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr semula – pen).” Sekian pandangan sebenar Imam al-Syafi’i tentang zikir selepas solat tetapi malangnya wujud sesetengah tokoh di Malaysia ini beranggapan mereka itu lebih Syafi’i daripada Imam al-Syafi’i itu sendiri.

Mengkritik amalan mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti ritual tahlil ketika kenduri arwah atau membaca al-Qur’an di tepi kubur bukanlah satu tindakan yang bijak di Malaysia. Si pengkritik pasti akan dihambur dengan pelbagai kata-kata berbentuk celaan dan yang paling popular tentulah tuduhan sebagai Wahhabi. Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutny a iaitu firman Allah: “…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Al-Najm (53) : 39) dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Namun kata-kata Imam al-Nawawi ini bagaikan tiada nilai bagi pembela-pembela mazhab Syafi’i di Malaysia.

Bagi mereka yang tidak mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaja dinggap menderhaka kepada mazhab Syafi’i bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Beginilah sikap mereka yang mengaku sebagai pejuang mazhab Syafi’i di Malaysia, sudahlah keluarga arwah sedang bersedih dengan pemergian insan yang mereka sayangi, dipaksa pula keluarga arwah tersebut untuk menyediakan jamuan makan agar perut mereka dapat diisi. Adakah ini benar-benar pandangan mazhab Syafi’i? Di dalam kitab I’anatu al-Talibin ada disebut tentang isu kenduri arwah menurut mazhab al-Syafi’i: “Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati adalah bidaah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis sahih dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata: “Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Indahnya pandangan mazhab Syafi’i yang asal berbanding dengan pegangan mereka yang mengaku Syafi’i di Malaysia. Masyarakat sekeliling sepatutnya membantu dalam menggembirakan keluarga arwah dengan membawa makanan kepada mereka. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di dalam al-Wajiz Fi Fiqhi al-Imam al-Syafi’i telah berkata: “Disukai membuat makanan untuk keluarga si mati.” Jangan pula selepas ini Imam al-Ghazali juga dikatakan Wahhabi.

Sekiranya ketika urusan pengkebumian jenazah tidak dilakukan amalan talqin, pasti ia akan menjadi topik bualan yang hangat di sesebuah kampung kerana ia dianggap telah mencemar tradisi orang Melayu yang berteraskan mazhab Syaf’i. Tapi hakikatnya amalan talqin ini tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam al-Syafi’i itu sendiri. Hanya sahaja ulama bermazhab syafi’i yang kemudian menganggap ianya sunat. Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil di dalam kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i telah berkata: “Mengenai Talqin, yang popular di kalangan masyarakat yang dilakukan setelah penguburan mayat, di mana salah seorang berdiri di sampingnya untuk mengajari mayat dengan lafaz berikut: “Hai Fulan bin Fulan, ingatlah kalimah yang engkau pegang sampai masuk ke kubur, iaitu bersaksi bahawa tidak adal Illah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah…” dan seterusnya, atau lafaz lain yang semakna, maka kami tidak mendapatkan keterangan dari Imam al-Syafi’i tentang masalah ini. Kami hanya mendapatkannya dari ulamak mutaakhkhirin (yang datang kemudian) dari para pengikut mazhab Imam al-Syafi’i.”

Hiasan-hiasan dikuburan seperti binaan kubah terutamanya di kuburan mereka yang di anggap sebagai para wali atau peneraju sesebuah tarekat merupakan satu perkara yang terima sebagai baik bagi pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Suasana yang kondusif ini amat bersesuaian untuk mereka melakukan ibadah-ibadah tertentu di kawasan perkuburan tersebut. Yang menghairankan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menganjurkan ibadah-ibadah seperti tawassul, membaca al-Qur’an, tawaf atau menyembelih haiwan korban di kawasan perkuburan. Menurut Ibnu Taimiyyah r.h di dalam Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah.” Tambahan pula Imam al-Syafi’i sendiri melarang dinaikkan sebarang binaan di atas kubur. Menurut beliau di dalam al-Umm: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.” Imam al-Nawawi r.h pula di dalam kitab Majmu’ menyatakan: “Imam al-Syafi’i dan para sahabatnya mengatakan bahawa termasuk hal yang dibenci adalah menembok kuburan, menuliskan nama si mati atau yang lainnya dan juga membangunkan binaan di atasnya. Ini tiada perbezaan pendapat di kalangan kita. Dengan mazhab (pendapat) ini pula Malik, Ahmad, Daud dan majoriti ulama telah berfatwa.” Tetapi pandangan sebegini tidak boleh diajarkan kepada umat Islam di Malaysia kerana takut ia boleh mengelirukan orang awam walaupun tidak dapat dinafikan ia adalah pandangan Imam al-Syafi’i.

Memadailah dengan beberapa contoh di atas yang diketengahkan bukan bertujuan untuk mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan sesiapa. Tapi ia sekadar untuk mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud di kalangan mazhab-mazhab dalam Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana tidak berpegang kepada mazhab Syafi’i. Walaupun seseorang itu pernah belajar dipondok mahupun lulusan dari Institut Pengajian Tinggi di Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa dia telah menguasai semua cabang ilmu. Qatadah pernah berkata: “Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan pendapat), maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya.” Bila kefahaman tentang perbezaan pendapat yang ada dalam Islam ini tidak berada ditahap yang memuaskan, maka pandangan yang sebenarnya berasal daripada Imam al-Syafi’i turut dipolemikkan sebagai Wahhabi. Jangan nanti pandangan Imam al-Syafi’i terpaksa diketepikan demi untuk menjaga kesinambungan Mazhab Syafi’i versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab yang boleh diamalkan di negara ini.

Sebagai nasihat kepada semua hayatilah sebuah riwayat daripada ‘Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata: “Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulama), kerana jika dia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpercaya kebenarannya) dari ilmu yang dia yakini.” Berlapang dadalah dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dicatat oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus di 09:06 "

Sunday, November 8, 2009

Dr Asri ulas isu idea pembaharuan yang dilabel Wahabi dan kesesatan

Mstar/Ahad November 8, 2009

KUALA LUMPUR: Tokoh agama yang sedang hangat didebatkan kerana idea tajdidnya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin melahirkan rasa terkejutnya apabila terbaca soal 'sesat menyesat' pula dibangkitkan di sebuah akhbar perdana semalam.

Dr Asri, ketika ditemui di ibu kota lewat malam tadi, mengulas temubual dengan seorang wakil JAIS, yang antara lain, menyatakan antara kesalahan akidah kelompok Wahabi ialah pembahagian perbincangan tauhid kepada tiga; tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat.

"Inilah yang dianggap kesalahan akidah puak ini. Wakil JAIS itu barangkali lupa bahawa perbahasan tauhid seperti ini dipakai dalam pendidikan sekolah dan universiti tempatan.

"Bahkan inilah yang dipakai dalam ratusan universiti di dunia Islam, di Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Qatar, Mesir dan berbagai negara lagi. Juga separuh umat Islam Indonesia dan separuh umat Islam di selatan Thai. Apakah mereka ini semuanya Wahabi dan sesat?!

"Inilah kes sesat-menyesat yang terbesar dalam sejarah umat Islam. Amat malanglah, jika umat Islam berbalah disebabkan kedengkian dan hasad lalu pergi ke daerah sesat-menyesat seperti ini," kata pakar hadis yang berusia 38 tahun ini.

Beliau juga sedar ada kelompok tertentu yang apabila sahaja melihat atau mendengar tentang idea-dea pembaharuan terus sahaja dilabelkan wahabi.

Kata Dr Asri, satu ketika dulu, 'senjata' ini (baca: Wahabi) telah dihalakan kepada Prof Hamka, Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi dan ramai lagi. Senjata fitnah ini jugalah, kata beliau, dikenakan oleh sesetengah kelompok agama kepada tokoh-tokoh reformis sepanjang sejarah.

"Apabila habis perkakas hujah, lalu dipakai perkakas fitnah’. Apakah itu Wahabi? Ia masih lagi misteri. Orang seperti saya bukan susah hendak cari kesesatan pemikiran jika ada.

"Saya bukan insan yang ghaib bersembunyi, saya ada tulisan, ada buku, ada siaran media elektronik dan berbagai lagi yang pemikiran saya boleh disiasat menerusi ucapan dan tulisan. Mengapa membuat tuduhan tanpa mendatangkan bukti?!," kata Dr Asri dalam satu wawancara dengan mStar Online.

Dr Asri teringat kata-kata Prof Hamka menjawab sikap suka memfitnah ini. Kata Hamka, "Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha.

"Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua.

"Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah!," jelas Dr Asri.

Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampaikan as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal.

Kata Dr Asri, nasib yang sama menimba insan yang jauh lebih mulia, Nabi Muhammad s.a.w, daripada seorang yang digelar al-Amin, lalu dipanggil tukang sihir dan gila. Ini semua akibat dari tidak mampu bersaing di pasaran pemikiran.

"Padahal, dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan rasulNya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah," kata bekas Mufti Perlis yang kini pensyarah USM.

"Namun apabila habis perkakas hujah, ada yang guna perkakas fitnah pula," kata Dr Asri.

Isu penanhana Dr Asri telah dibangkitkan oleh ramai kelompok terutama dari golongan ahli akademik, politik dan juga ulamak.

Pada malam Sabtu lepas, Dr Asri telah mengadakan sebuah sidang akhbar menjawab segala pertuduhan fitnah yang terkandung di dalam Memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Keesokan harinya pula, Dr Asri telah ditahan oleh pihak Jabatan Agama Islam Malaysia (JAIS) di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Isu Dr Asri: Dr Azwira ketuai KIMM desak 8 tuntutan; buang senjata tuduhan Wahabi kepada tokoh agama berbeza pendapat

KUALA LUMPUR: Lebih dari 100 orang tokoh agama dan pendakwah yang menamakan diri mereka 'Kelompok Intelektual Muslim Muda' (KIMM) telah mendesak agar lapan tuntutan diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa agama dalam sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di ibu negara lewat malam semalam.

Salah seorang dari mereka, Dr Azwira Abd Aziz, yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertindak sebagai jurucakap manakala Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim pula hadir sebagai penasihat KIMM.

"Kelompok Intelektual Muslim Muda ingin membuat 8 tuntutan kesan dari perkembangan dan situasi yang melanda masyarakat Islam sekarang, yang ditimbulkan oleh pihak media hasil dari apa yang berlaku baru-baru ini," kata Azwira.

Lapan tuntutan yang dikemukakan ialah:

1) Meminta pihak berkuasa agama ketepikan sikap prejudis terhadap para ulama/pendakwah seperti membuat tuduhan sesat tanpa bukti dan alasan yang kukuh.

2) Meminta diberi layanan yang adil kepada semua pendakwah tanpa prejudis seperti tolak permohonan tauliah dan ceramah tanpa sebab.

3) Meminta supaya dibuang senjata tuduhan Wahabi kepada golongan agama/tokoh agama hanya kerana berbeza pendapat dengan niat jahat.

4) Membantah mana-mana pihak dalam institusi agama di Malaysia menuduh Kerajaan Arab Saudi dan ulama-ulamanya. Di samping tuduhan itu salah, ia juga memberi implikasi buruk kepada hubungan kedua-dua negara.

5) Hentikan cercaan terhadap tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Imam Mazhab 4, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Syatibi, Muhammad Abd Wahab dan mana-mana tokoh ilmuan Islam.

6) Meminta ruang dakwah yang adil diberikan kepada aliran yang tidak difatwakan sebagai sesat.

7) Meminta agar sesiapa yang memiliki kelulusan pengajian Islam/Agama yang sah dikecualikan daripada tauliah.

8) Meminta agar sesuatu amalan/fahaman yang berbeza dengan amalan setempat tidak dikategorikan sesat, selagi mana ia bersandarkan kepada dalil-dalil dan kaedah yang sah.

Azwira berharap tuntutan-tuntutan ini diberi perhatian segera pihak-pihak tertentu agar perkembangan tentang syariat Islam dapat berjalan dengan maju dan pesat.

Ketika ditanya adakah tuntutan ini dilakukan ekoran isu penahanan Dr Asri oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Azwira berkata, "kami membantah cara penahanan itu dilakukan."

Azwira juga menyentuh soal isu tauliah yang dibangkitkan oleh pihak JAIS.

"Saya sendiri adalah Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan pensyarah di Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah. Saya pernah memohon tauliah dan telah dipanggil untuk ditemuduga oleh pihak JAIS tetapi akhirnya tidak diberi tauliah tanpa diberi sebarang alasan. Begitu juga dengan ramai lagi ahli akademik dalam KIMM yang pernah memohon tauliah tetapi masih tidak dapat sehingga sekarang," kata Azwira yang juga penulis buku 'Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar?

Beliau juga hairan di dalam kes Haji Kahar Ahmad, yang ditangkap kerana mengamal ajaran sesat dan mengaku dirinya 'Rasul Melayu', kenapa isu tauliah tidak timbul.

"Bagaimana pula seorang pendakwah yang memiliki kelulusan pengajian Islam disekat sampaikan ilmu agama?," bidas Azwira.

Pandangan Azwira ini turut disokong oleh Shahidan.

"Seorang pakar motivasi yang bercakap pasal agama tidak perlukan tauliah tetapi seorang pendakwah agama yang bercakap pasal motivasi perlukan tauliah. Jadi ustaz-ustaz yang hendak berdakwah perlu ada 14 tauliah dari semua negeri-negeri di Malaysia," soal Shahidan.

Sementara itu, Shahidan, yang juga bekas Menteri Besar Perlis pula berkata, tuduhan yang dibuat oleh seorang individu seperti yang dilaporkan di dalam akhbar perdana semalam berkenaan soal Wahhabi dan isu sesat telah mengelirukan masyarakat Islam di negara ini.

"Saya dituduh jadi Wahhabi selama 12 tahun semasa menjadi Menteri Besar Perlis. Saya tidak tahu apa itu Wahhabi. Wahhabi ini diberi oleh musuh-musuh Islam dan hanya mula diperkatakan selepas peristiwa September 11. Ini adalah satu niat jahat melabelkan sesiapa yang tidak sealiran sebagai Wahhabi.

"Dulu soal kafir mengkafir, kini timbul soal sesat pula. Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri telah memutuskan bahawa Wahhabi itu tidak sesat tetapi fakta ini telah disembunyikan dari orang ramai sehinggalah dibangkitkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim baru-baru ini.

"Orang Islam telah dikelirukan. Apa yang tersiar tentang Wahhabi semalam jelas bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh Dr Mashitah," kata Shahidan.

Katanya lagi, "Ianya satu tuduhan yang berat apabila saya dan orang-orang Perlis telah dilabel sebagai Wahhabi dan sesat. Saya akan pergi mengadap tuanku Raja Perlis untuk berbincang tentang hal ini."

Tambah Shahidan, beliau juga amat berbesar hati dengan pelawaan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang membenarkan tokoh agama dari Perlis untuk mengadakan ceramah agama pada bila-bila masa dan di mana sahaja di negeri Johor.

Shahidan merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Johor semalam di mana peraturan pihak berkuasa agama negeri Johor tidak memerlukan seseorang pendakwah mendapatkan sebarang surat tauliah khas untuk mengadakan ceramah agama tetapi perlu merupakan seorang penceramah agama yang diiktiraf.


Mstar/Ahad November 8, 2009


Saturday, November 7, 2009

Misteri Wahhabi Di Malaysia

Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).

Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.

Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”. Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.

Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahhabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar ‘ustaz’, bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka ‘sang ustaz’ itu dengan mudahnya akan menyebut: ‘awak wahhabi’.

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahhabi. Padahal kitab melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendir, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata ‘awak wahhabi’.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk ‘bisnes’ mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan ‘kartun’ dan ‘lucu’. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya ‘awak wahhabi’. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin ‘Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu wahhabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahhabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.

Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahhabi”. Apa itu wahhabi? Jawab mereka wahhabi itu wahhabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia ‘aliran pengkafir umat’ yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahhabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi’i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahhabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.

Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:

“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah ‘mereka ini’ apabila menjadi ‘penasihat-penasihat’ bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab. Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal ‘sesetengah mereka ini’ di luar mesyuarat bank yang ber‘elaun’ itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahhabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai ‘wahhabi’. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.

Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang. Bagi saya, bukan isu wahhabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat ‘kedudukan’ seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mensyuarat itu sebagai ‘bank mazhab wahhabi’.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua ‘occomodation or resistance’. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahhabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahhabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahhabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.

di petik dari http://drmaza.com/home/?p=664

Wednesday, November 4, 2009

Tangkap Dr Asri, Pengarah Jais perlu profesional

Zuraida Kamaruddin
Wed | Nov 04, 09 | 5:33:29 pm MYT

Penahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Negeri Perlis oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutama di Negeri Selangor.

Selaku individu yang berada di tempat berlakunya majlis ilmu berkenaan, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang mengelirukan berdasarkan kepada beberapa laporan akhbar yang saya rasa telah memetik dari sumber yang cuba melindungi kejadian sebenar yang berlaku.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah cara pihak JAIS menjalankan operasi penahanan adalah tidak profesional dan mempamerkan kelemahan yang tidak sepatutnya wujud dalam organisasi yang tinggi tarafnya seperti JAIS.

Lebih menghairankan apabila ditahan, pihak JAIS gagal menyediakan kertas pendakwaan bagi mengaitkan Dr Asri dengan sebarang kesalahan melainkan dengan alasan mengajar tanpa tauliah.

Sepatutnya penahan dibuat setelah terbukti sesorang itu telah melakukan kesalahan. Agak menyedihkan dalam kes ini sewaktu mahu menahan Dr Asri, kelihatan pegawai JAIS sendiri tidak membuat persediaan dan sering menggunakan telefon bagi mendapat arahan dari pegawai atasan yang dipercayai ialah Pengarah JAIS sendiri iaitu Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Bagi saya tindakan JAIS yang menggunakan khidmat polis pada malam kejadian juga adalah satu tindakan yang melampau dan meletakkan Dr Asri pada kedudukkan yang tidak sepatutnya memandangkan sebelum ini beliau telah diberi kepercayaan oleh Tuanku Raja Perlis untuk menjaga persoalan berkenaan agama Islam di Negeri Perlis sendiri.

Sepatutnya sebagai seorang bekas Mufti dan memiliki pendidikan sehingga kepada peringkat Doktor Falsafah berkenaan Islam, beliau dialu-alukan untuk mendidik masyarakat. Adakah semua ini masih lagi tidak melepasi kelayakan yang diperlukan oleh JAIS untuk seorang seperti beliau bagi menyampaikan dakwah di Selangor.

Di sini saya bertegas mendesak Pengarah JAIS menjelaskan apakah garis panduan yang digunapakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor.

Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, sehingga kini terdapat lebih kurang 7 orang Ustaz yang di antaranya adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dan telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis.

Dengan adanya garis panduan tersebut JAIS akan dapat membendung amalan mengikut selera Pengarah JAIS dan memberi keadilan kapada cendekiawan seperti Dr Asri untuk menyampaikan ilmu.

Dalam tempoh terdekat, pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat Selangor akan menghantar petisyen kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selongor agar menilai semula kedudukan dan fungsi Pengarah JAIS yang jelas telah menjejaskan kedudukan Baginda selaku penaung kepada perkembangan Islam di Negeri Selangor yang bertuah ini.

Melalui kenyataan media ini juga saya ingin menafikan laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Pengarah JAIS bahawa saya dan seorang lagi rakan YB Shaari Sungip telah menghalang tugas pegawai JAIS untuk menjalankan tugas sehingga terpaksa menggunakan polis.

Apa yang berlaku ialah saya dan YB Shaari Sungib cuba untuk menenangkan keadaan kerana para jemaah ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadap oleh saudara Shahrom penolong pengarah penguatkuasa JAIS yang mengaku mempunyai ijazah dari Universiti Al Azhar.

Untuk itu, saya mengesa agar Pengarah JAIS yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini menarik balik dakwaan beliau. Sebaliknya beliau perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan kerana beliau membawa imej JAIS yang dipandang tinggi oleh umat Islam.

Ahli Parlimen Ampang,
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat.
_

HarakahDaily/Rabu 4 November 2009 | 16 Dzulka'edah 1430 Hijrah


Dr Asri Jawab Tuduhan Sijil Palsu

PETALING JAYA: Ternyata dakwaan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kononnya dia memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab, tidak lebih dari satu lagi fitnah yang terancang.

Ini terbukti dengan kiriman emel gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah.

Bukti ini sekali gus menunjukkan ianya bercanggah dengan tuduhan pegawai JAKIM Zamihan Mat Zain yang tersiar dalam sebuah akhbar perdana hari ini.

"Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.

"Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini. Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini?

"Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!," kata Dr Asri di kediamannya di Mengkuang, Bukit Mertajam. Kelmarin, penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zain Alghari, mendakwa Dr Asri memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa bidang pengkhususan Dr Asri hanya melibatkan bahasa Arab dan Sastera dan Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

"Universiti itu tidak meneruskan program itu sekarang tapi di waktu saya belajar dulu, memang ada program itu. Antara penceramah yang mendapat ijazah yang sama ialah Ustaz Erfino Johari dan ramai lagi guru-guru agama yang mengajar bahasa Arab.

"Tapi inikah kerja JAKIM, menyanggahi disiplin kerja, budi dan etika. Apakah tujuan JAKIM masuk campur? Juga menyalahi akhlak Islam?," kata Dr Asri.

Tuduhan memalsukan kelayakan merupakan tuduhan terbaru yang dilemparkan terhadap Dr Asri sejak dia ditahan oleh pihak JAIS malam Ahad lalu. Antara tuduhan lain ialah memberi ceramah agama tanpa tauliah dan menyebarkan fahaman Wahabi.

Dr Asri tertanya-tanya apakah motif di sebalik tuduhan terbaru ini.

"Adakah ini bermakna JAKIM termasuk dalam 'tangan ghaib' sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menafikan kerajaan pusat terlibat dalam hal ini.

"Adakah JAKIM ingin sabotaj saya atau Kerajaan Persekutuan? Dan Datuk Jamil Khir Baharom juga mahu kerajaan Selangor bertanggungjawab. Jadi jika JAKIM tidak terlibat dalam tuduhan pegawainya, saya ingin melihat bantahan terbuka dari pihak JAKIM.

"Saya juga difahamkan Dr Azwira Aziz turut menyaman pegawai yang sama untuk kes fitnah yang lain," kata Dr Asri yang akan mengadakan satu kuliah bertajuk 'Gelombang Fitnah' jam 8 malam ini di Institut Al Qayyim. Kuliah malam ini akan menyentuh tuduhan bohong pegawai JAKIM tentang sijil palsu.

Menurut Dr Asri, setelah berita 'pemalsuan ijazah' itu keluar, beliau telah menerima panggilan dari beberapa peguam ternama menawarkan khidmat mereka dengan percuma untuk menyaman Zamihan.

Dan Dr Asri berkata, dia tidak teragak-agak untuk menyaman.

"Cukuplah...mereka telah pergi ke peringkat yang keji iaitu, fitnah!," kata Dr Asri yang juga ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, di bawah Majlis Agama Islam Perlis.


Mstar/Rabu November 4, 2009

14 NGO Sunnah hantar resolusi bantahan penahanan kontroversi Dr Asri

PETALING JAYA: Selepas penahanan kontroversi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) beberapa hari lalu, seramai 14 buah NGO Sunnah dari seluruh Malaysia hari ini mengemukakan bantahan mereka melalui pihak media.

Mereka adalah Institut al-Qayyim, Pulau Pinang; Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa Malaysia, Kuala Lumpur; Institut al-Mizan, Negeri Sembilan; Pertubuhan Kebajikan al-Qalam, Perlis; Akademi al-Faqeh, Selangor; INTIS Consultant and Training, Kuala Lumpur; Yayasan at-Tibyan, Pahang.

Turut serta menyatakan bantahan ialah Institut Ibn Kathir, Perlis; Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN), Kuala Lumpur; Pertubuhan al-Khaadem, Kuala Lumpur; Yayasan Ta’lim, Kuala Lumpur; Islamic Propagation Centre International (IPCI), Pulau Pinang; Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ibnu Hajar(IBH), Melaka dan Gagasan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (GUASMA).

Resolusi yang telah diputuskan antara lain berbunyi:

Respons terhadap penangkapan Dr Mohd Asri

1) Kami merasa kesal dan dukacita dengan cara para petugas JAIS menangani isu penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Hulu Kelang malam semalam. Proses penahanan tersebut telah dilakukan dengan cara yang tidak profesional dan biadab, serta membelakangkan adab kesopanan dan tata susila agama.

a. Kami merasakan penangkapan Dr Mohd Asri dilakukan dengan cara yang tidak terhormat, bahkan tidak mengikut prosedur undang-undang yang wajar. Kehadiran begitu ramai anggota polis seolah-olah menggambarkan seorang penjenayah besar sedang dikepung untuk ditangkap.

b. Dalam kejadian yang belaku di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur yang menyaksikan bahawa pegawai JAIS yang terlibat telah mengganggu petugas media menjalankan tugas, dan ini adalah bukti bahawa mereka tidak professional dalam menjalankan tugas.

c. Kami juga sangat hairan bagaimana Dr. Asri dibiarkan tertunggu-tunggu selama beberapa jam tanpa sebarang pertuduhan di ruang mahkamah. Lebih menghairankan lagi tiba-tiba beliau dikatakan telah dibebaskan dengan bon jaminan sedangkan hal tersebut tidak pernah berlaku.

2) Kami menggesa agar dalang di sebalik kekacauan yang berlaku pada hari tersebut dikenalpasti dan diambil tindakan tegas oleh pihak berwajib.

a. Kami ingin tertanya-tanya apakah bentuk penjelasan yang telah diberikan oleh para petugas JAIS kepada pihak polis sehingga menyebabkan seluruh taman perumahan dikepung oleh pihak polis. Adakah rumah tersebut sedang melakukan aktiviti jenayah?

b. Kejadian tersebut amatlah tidak wajar, seolah-olah para pegawai JAIS sengaja menggambarkan bahawa Dr Mohd Asri seperti seorang penjenayah dan menjatuhkan kredibiliti beliau.

c. Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang bertindak professional dalam menangani kes tersebut yang ternyata lebih baik berbanding para petugas JAIS.

3) Kejadian yang berlaku lewat malam semalam adalah bukti diskriminasi dan prejudis terhadap kesarjanaan ilmu dan keterbukaan pemikiran. Dan pada masa yang sama, mencemarkan kebebasan bersuara dalam negara demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

4) Kami dengan ini meminta penjelasan daripada JAIS serta pihak-pihak berkaitan, kenapa seorang bekas mufti, ahli Majlis Agama Islam Negeri Perlis, pensyarah kanan di universiti tempatan yang mempunyai kelulusan khas dalam bidang agama, kolumnya dibaca oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia, bahkan diiktiraf keilmuannya oleh pihak kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, ditahan atas sebab tiada tauliah. Jika tauliah menjadi isu kenapa masih ramai individu yang memberikan ceramah di masjid dan surau di bawah seliaan JAIS tanpa tauliah, akan tetapi tidak ditahan. Maka dapat kami simpulkan bahawa penahanan Dr Mohd Asri adalah berbentuk selektif ataupun berpilih-pilih.

5) Kami sangat menghargai keprihatinan dan sokongan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan sebilangan ahli palimen Malaysia yang bersidang hari ini. Reaksi positif pihak terbabit member sinar kepada kebebasan berfikir dan bersuara dalam sebuah Negara demokrasi berdaulat seperti Malaysia ini.

6) Dengan ini, kami sebulat suara menggesa pihak yang berkaitan menghentikan 'politiking' agama ini agar wajah penguatkuasa Islam tidak dipandang remeh dah hina oleh masyarakat awam. Kami juga menggesa agar dalang dan petualang yang mencetuskan kekecohan ini diambil tindakan tegas bagi menghentikan agenda buruk mereka. Jika benar ada pertuduhan lakukanlah dengan adil dan saksama.

Respons terhadap kenyataan balas PGSM

1. Kami menyelar kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang mengatakan bahawa memorandum tersebut adalah satu perkara yang remeh yang sengaja digembar-gemburkan oleh Dr. Asri.

2. Namun, perkara remeh seperti yang didakwa oleh pihak PGSM, telah dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, seterusnya seolah-olah meremehkan dan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong itu sendiri.

3. Kami dengan ini, ingin menyatakan bahawa memorandum tersebut dipenuhi dengan tuduhan-tuduhan palsu dan berbentuk fitnah. Ternyata bahawa mereka telah berbohong di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat yang membaca memorandum tersebut.

4. Kami juga percaya bahawa memorandum seperti yang telah dikeluarkan itu tidak disokong oleh kesemua 16 NGO, bahkan kami juga percaya bahawa ianya bukanlah kenyataan rasmi mereka. Akan tetapi ia cuma mewakili sesetengah individu yang berkepentingan.

5. Dan kami juga meragui pernyataan memorandum tersebut bahawa majoriti umat Islam di Malaysia membantah, dan tidak menerima Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedangkan telah ternyata jelas bahawa Dr Mohd Asri mampu mendapatkan sokongan yang baik, samada dari pihak kerajaan, pembangkang mahupun pihak-pihak berkecuali.

6. Kami merasakan bahawa pihak PGSM telah mencemarkan imej baik mereka sebagai pengamal undang-undang yang sepatutnya menitik beratkan soal bukti, hujah dan juga fakta yang benar dalam menuatakan tuduhan. Kenyataan yang berbentuk pembohongan serta fitnah seperti di dalam memorandum tersebut telah mencalar kredibiliti PGSM lebih-lebih lagi sebagai persatuan pengamal perundangan Islam. Malahan, ia menggambarkan mentaliti dan cara bertindak yang rendah.

7. Dengan ini, kami menggesa pihak PGSM membuktikan kesemua 10 tuduhan yang dimuatkan di dalam memorandum tersebut, dan kami ingin menolak sekeras-kerasnya kesemua dakwaan palsu yang termuat di dalam memorandum yang telah disampaikan kepada Yang diPertuan Agong tersebut.

8. Kami juga ingin mencabar pihak PGSM untuk membuktikan kesemua tuduhan palsu di dalam memorandum tersebut secara terbuka untuk merungkai segala kekeliruan memandangkan memorandum tersebut telah pun disiarkan kepada umum di dalam laman sesawang PGSM sendiri.

9. Kami juga memohon penjelasan pihak PGSM mengemukakan sumber yang menyebut berkenaan perlantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai Yang Dipertua YADIM.

Berdasarkan satu kenyataan akhbar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Jamil Khir Baharom beliau telah menegaskan bahawa tiada perlantikan baru atau pengganti untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut kerana tempoh jawatan YDP YADIM yang sedia ada telah dilanjutkan sehingga 2012.

Mstar/Rabu November 4, 2009

Penahanan Dr Asri Satu Penghinaan Kepada Para Akademik

PETALING JAYA: Penahanan Dr Asri tempoh hari merupakan satu penghinaan kepada para akademik. Presiden Komuniti Islam dari Universiti Durham, United Kingdom, Maszlee Malik melahirkan rasa terkilannya di atas insiden penangkapan Dr Asri menerusi kiriman emel kepada mStar Online hari ini.

Kata Maszlee, institut pengajian tinggi memainkan peranan sebagai satu badan yang menghasilkan golongan yang berpendidikan tinggi dalam masyarakat dan golongan bijak ini dibentuk untuk menjadi pelapis golongan intelektual pada masa hadapan.

Malangnya, Maszlee mendakwa tradisi yang sudah lama dipraktikkan ini ditolak di Malaysia. Ini terbukti dengan tindakan 'kepura-puraan' penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Ijazah merupakan satu penghargaan dan ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul. Ia juga merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berpendidikan tinggi dan berkebolehan," kata Maszlee.

Menurutnya lagi, ini bukan hanya satu tradisi barat yang telah lama dipraktikkan oleh orang Muslim sejak berkurun-kurun. Pencapaian seorang cendekiawan diukur melalui pencapaian seseorang semasa zaman universitinya. "Dr Asri ditahan tanpa sebarang permit di sebuah banglow di Taman Ukay. Tiada siapa yang tahu motif sebalik penahanannya.

"Pihak JAIS juga sering menukar sebab penahan Dr Asri untuk mempertahankan tindakan mereka itu. Mujurlah, kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, enigma itu akhirnya terjawab," ujar Maszlee lagi.

Media dan surat khabar menyatakan Dr Asri ditahan kerana beliau memberi ceramah mengenai agama Islam tanpa mendapat tauliah daripada Jais.

"Sudah jelaslah kini kesemua ini berlaku untuk menunjukkan siapakah yang berkuasa.

"Tidak berguna bertengkar mengenai prosedur undang-undang dalam hal ini. Perundangan ini hanya wajar diamalkan sekiranya seseorang itu mempraktikkan ajaran sesat," kata Maszlee.

Beliau juga menyoal apa lagi kelayakan yang perlu ada pada bekas mufti yang memilki ijazah falsalah kedoktoran dalam pengajian Islam?

"Jika Ayah Pin atau Haji Kahar yang mengakui dirinya sebagai seorang Nabi Melayu ditahan, masyarakat awam tidak akan membantah tindakan Jais.

"Tetapi ini Dr Asri....orang yang pernah menjadi seorang mufti. Mufti ialah pangkat tertinggi diberikan kepada seseorang yang berkelayakan dalam bidang kuasa agama Islam selepas Sultan atau Agong.

"Selepas episod ini, orang akan mula bertanya dan sudah timbul pun keraguan, mesti ada sesuatu yang tidak kena," kata penulis yang juga merupakan Penasihat kepada Persatuan ‘Durham Malaysian Scholars.’

Pada masa yang sama, Maszlee juga mempertikaikan bagaimana pihak JAIS menilai biasiswa yang diterima oleh Dr Asri. Pada pendapat beliau, ijazah kedoktoran yang diterima Dr Asri dari Universiti Malaya dalam penggajian Islam Antarabangsa serta pengalaman menimba ilmu di rantau orang perlu diambil kira.

"Apabila kelayakan cendekiawan dan pensyarah seperti Dr Asri dipersoalkan maka ini sudah merupakan satu penghinaan.

"Apa lagi kelayakan yang perlu dimiliki oleh seorang bekas mufti ini? Jika kelayakannya menjadi tanda tanya, bagaimana pula mengenai ahli politik Islam lain apabila mereka mengadakan ceramah di masjid dan surau?

"Apa pula kelayakan yang perlu dimiliki oleh Tabligh jamaat yang berpindah dari satu masjid ke masjid yang lain untuk berkhutbah mengenai ajaran Agama Islam?

Maszlee juga menyarankan agar pihak berkuasa agama Islam, membuat sedikit pengubahsuaian dalam undang-undang yang sedia ada untuk membenarkan orang berkhutbah dalam bidang kuasa masing-masing. "Pendekatan ini haruslah diterima oleh masyarakat awam yang sebahagian besarnya merupakan masyarakat Islam. Ini perlu untuk mengubah tanggapan mereka mengenai cendekiawan dan para akademik dalam jurusan penggajian Islam.

"Untuk mengubah sikap mereka mengenai golongan ini, latar belakang mereka mestilah diubah atau diadaptasi. Kalau tidak, golongan ini pasti akan ditimpa banyak lagi penghinaan apabila peristiwa seumpama penahanan Dr Asri berulang lagi.

"Bagaimana dengan ajaran agama Islam oleh para cendekiawan, orang berkhutbah dan para akademik, boleh disebarkan diseluruh dunia, terutamanya di Eropah walaupun mereka tidak memiliki sebarang tauliah atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan," kata Maszlee.


Mstar/Rabu November 4, 2009