| Ali Bukhari Amir Sat | Dec 27, 08 | 3:24:48 pm MYT/ | |
| Kepada semua kaum ibu dan bapa dan guru-guru yang berada di bawah Parlimen Kuala Terengganu. Surat ini ditujukan khusus buat anda tanpa mengira latarbelakang kepartian. Surat ini daripada saya, seorang anak muda yang tidak ghairah kepada parti, hanya ghairah kepada tradisi keilmuan dan dunia akademik. Juga, surat ini mungkin wakil daripada kawan-kawan saya yang peka dan prihatin terhadap nasib bangsa kita. Pendek kata, warkah ini dihulurkan kepada anda semua sebagai insan yang tiada memiliki apa-apa kepentingan parti. Maka, janganlah hendaknya dilihat isi kandungan surat ini bermotifkan kepartian, walaupun ia tersiar di laman sesawang parti pembangkang. Saya memilih ruangan ini kerana saya yakin penuh percaya, bahawa isi kandungan surat ini tidak akan pernah tersiar di dalam akhbar yang telah dikawal parti pemerintah. Warkah ini mengajak semua kaum ibu, kaum bapa dan guru-guru di Parlimen Kuala Terengganu untuk sama-sama kita berbincang daripada hati ke hati berhubung suatu permasalahan yang kronik sejak lima tahun lalu. Barangkali kita semua sudah terlewat atau masih belum terlewat untuk merawat penyakit umat. Masa semakin suntuk! Tapi, ini semua bergantung kepada andaian masing-masing juga. Ada pihak yang masih menyatakan kita masih belum terlewat dan ada yang berkata kita sudah terlewat, nasi sudah menjadi bubur! Masing-masing punya tafsiran tersendiri. Lidah bahasa berbelang warna Ketika diajar matapelajaran Sains dan Matematik, anak-anak kita dan guru-guru di sekolah dihinakan dengan bahasa yang bukannya bahasa kita. Contohnya, kalau dalam suatu hari itu, ilmu sains dan matematik masing-masing diajar selama satu jam dalam kelas, bermaksud dalam sehari, kira-kira dua jam masa telah diperuntukkan untuk menghina anak-anak kita dan guru-guru dalam tempoh 24 jam melalui paksaan, bercakap, mengajar dan belajar, menerangkan dan bertanya dalam bahasa yang bukan milik nenek moyang kita. Maka, apabila tiba masa untuk belajar ilmu geografi, pendidikan seni, agama dan lain-lainnya, boleh pula diajar dalam bahasa Melayu. Lidah anak-anak kita sudah memiliki berjalur dan berbelang warnanya. Kita mempunyai ungkapan yang tidak baik mengenai 'lidah bercabang', iaitu orang yang suka menipu, cakapnya berbelit, mungkir janji dan hal ini dibenci. Sekarang, lidah anak-anak dan guru-guru kita berbelang warna. Bertambahlah satu lagi penyakit baru di alaf moderen ini dan pastinya penyakit 'lidah berbelang' ini sukar dirawat nanti jika kita tidak berbuat sesuatu. Apabila kita membantah PPSMI ini, maka pihak kementerian telah mencari helah dan menyusun dalih baru. Kononnya kita anti bahasa Inggeris. Sebenarnya, mereka pun tahu, sedar bahawa bantahan ini bukannya terkait dengan sikap kita yang anti bahasa Inggeris. Tetapi, pihak kementerian sengaja mengada-adakan tohmahan seperti ini supaya bantahan ke atas PPSMI ini akan tampil dengan wajah gelap; kononnya kita anti pembangunan, kuno, jumud dan anti bahasa Inggeris! Sesungguhnya, kalau gerakan membantah PPSMI ini benar-benar anti bahasa Inggeris, sejak dahulu lagi kita tidak izinkan matapelajaran bahasa Inggeris diajarkan di sekolah-sekolah! Tetapi, kita tidak pernah membantah langsung matapelajaran ini diajarkan. Kita alu-alukan pengajaran dan pembelajarannya. Kita benarkan tertegak dan tertubuhnya British Council dalam negara kita. Tiada seorang pun yang tergamak membakar segala gedung institusi pendidikan yang terkait dengan bahasa Inggeris ini. Hati kita cuma jadi hangus terbakar dengan sebab maruah kita diinjak-injak oleh pihak kementerian sendiri yang telah menghina kita, menjatuhkan maruah nenek moyang kita yang telah berusaha keras menegakkan tiang bahasa Melayu sebagai tonggak bahasa kebangsaan, atau bahasa rasmi yang digunakan dalam pentadbiran dan urusan rasmi dalam kehidupan tatacara bernegara. Maka pendidikan adalah salah satu cabang daripada urusan hidup bernegara. Pendidikan adalah pusat nyawa, nadi kehidupan negara ini. Tiada bermaknanya kehidupan bernegara dan tiada ertinya sesebuah peradaban yang lumpuh tradisi pendidikan dan keilmuannya. Lumpuhnya pendidikan itu ditandai dengan pengajaran dan pembelajaran ilmu yang bukan melalui bahasa kaum itu sendiri. Wahyu yang pertama turun adalah Iqra', iaitu bacalah. Wahyu pertama itu mementingkan unsur pendidikan, menerapkan ilmu sebagai petanda aras, kayu ukur yang menyukat jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Bukanlah ekonomi yang menjadi asas dan nadi jatuh bangunnya sesebuah bangsa. Tapi, ilmu itulah asas penggerak sesebuah tamadun. Sekarang, pendidikan kita menjadi caca-marba, roti canai dan murtabak akibat campuran dan tokok tambah rojak bahasa di sana sini. Manusia memerlukan bahasa sebagai alat berfikir. Rosaknya bahasa bermaksud akan tumpullah alat menajamkan fikiran. Dan yang menumpulkan dan menghauskan bahasa Melayu yang tajam berkilat tadi adalah pemimpin Melayu sendiri! Bolehkah khutbah Jumaat dalam bahasa bukan Melayu? Misalnya pada satu hari, kerajaan betul-betul mahu jadikan Kuala Terengganu sebagai kawasan pelancongan agar pelancong Inggeris berpusu-pusu masuk datang bercambah dan masyarakat antarabangsa pula datang berjebah maka semestinya kerajaan meminta para imam dan khatib membacakan khutbah dalam bahasa Inggeris setiap kali solat Jumaat. Majlis-majlis tazkirah dan penyampaian agama antara Maghrib dan Isyak mestilah diajar dalam bahasa Inggeris. Latihan ini perlu agar setiap ahli masyarakat di Kuala Terengganu mencapai kualiti bahasa Inggeris yang bermutu tinggi supaya dengan itu mereka dapat berbahasa Inggeris dengan para pelancong itu. Menteri-menteri yang 'gila' ini mungkin akan berkata, "Kita perlu menambahkan jumlah pelancong di negara kita. Apabila kita makin mahir berbahasa Inggeris, maka makin ramai pelancong mahu datang ke sini kerana orang di sini ramah-tamah serta lancar pula berbahasa Inggeris." Apa akan jadi kalau seluruh ahli masyarakat Kuala Terengganu diminta memakai bahasa yang bukan bahasanya sendiri dalam urusan membeli ikan, sayur di pasar hanya semata-mata untuk melatih ahli masyarakat dalam kawasan Kuala Terengganu itu agar lancar berbahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa semata-mata atas nawaitu palsu, meningkatkan ekonomi dan memajukan sektor pelancongan? Heh! Tuan-tuan.. jangan main-main. Pemimpin kita bijaksana dan bijak laksana orangnya. Kalau tidak, masakan tertegak Majid Kristal itu? Dengan 'bijaksana' mereka itu, manalah tahu kalau-kalau khutbah pun nanti dalam bahasa Inggeris! Di dalam bahasa Melayu pun, makmum kita tersengguk-sengguk, kalau dalam BI, barangkali terus makmum kita padam, dan koma sepanjang Jumaat itu! Banyakkan tindakan bantahan, bukan sekadar berbicara! Anak-anak kita dipaksa bertanyakan soalan dalam bahasa yang bukannya bahasa milik kita. Dan guru-gurunya diminta mengajar dalam bahasa yang bukan miliknya. Tuan-tuan tentu sudah tahu apakah dasar ini. Ia adalah dasar yang meminta anak-anak kita dan guru-guru kita belajar dalam bahasa yang bukan milik kita. Bukan bahasa ibunda. Maka, segelintir dalam kalangan cendekiawan negara sudah pun menunjukkan aksi bantahannya melalui protes bicara! Tapi, kita manusia dan bukannya Tuhan. Alam ini tercipta dan bergerak melalui kata-kata Tuhan yang berbunyi 'Kun Fa Yakun', Jadi maka jadilah ia (alam ini). Kegelapan dasar PPSMI ini bagaikan malam yang pekat. Ia tidak boleh diusir melalui kata-kata, cercaan dan celaan. Kita bukan Tuhan yang boleh mengubah alam ini melalui kata-kata 'Kun Fa Yakun' tadi. Cendekiawan kita telah menyusun nota bantahan berulangkali. Tapi, sebagai yang disebutkan di atas, "Kegelapan tidak boleh diusir lewat kata-kata." Kita tidak boleh bersikap sebagai Tuhan dengan menyeru kegelapan tadi dengan kata-kata: "He kegelapan, pergilah dikau dari sini!" Hentakan dan sergahan lewat bicara ke atas kegelapan seperti itu tiada maknanya lagi. Kita manusia dan bukan Tuhan. Firman Tuhan Kun Fa Yakun boleh mengubah segala warna alam itu daripada sejuta kegelapan kepada sejuta pencerahan tanwiri. Insan boleh mengubah semuanya boleh tindakan dan pelaksanaan dan bukan kata-kata. Penyair Indonesia terkenal, W S Rendra bermadah darihal erti perjuangan, "Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata." Tafsiran ke atas kalimat perjuangan, menurut Rendra adalah pelaksanaan ke atas kata-kata. Hal ini perlu diteliti oleh kita semua. Melaksanakan kata-kata adalah satu perjuangan. Ertinya, kita perlu bertindak dan beraksi dan bukan hanya terhad berbicara, menyusun nota bantahan, menulis memorandum semata-mata. Kegelapan PPSMI terusir oleh pelita dan dian tindakan! Kegelapan tidak terusir melalui sergahan kata-kata. Ambillah dian, dan nyalakan pelita. Bawalah jamung di celah-celah kegelapan itu dan kegelapan akan terusir dengan sendirinya nanti. Maka, hal membawa dian, pelita dan jamung itu adalah tindakan, gerakan merakyat yang nanti akan menatijahkan robohnya tembok keangkuhan Barisan Naga tadi, di mana sejak sekian lama belum ada rakyat yang berusaha keras melanggarnya. Hati kita telah lama hangus, dihanguskan oleh sikap ahmak dan kesombongan mereka. Jiwa ibunda telah pun lama rentung, direntungkan lewat pidato liar Barisan Naga (BN) ini. Liar lingkaran api yang menyala-nyala, dan sesekali menyembur lewat pidato naga-naga ini telah lama membakar jiwa, hati setiap perasaan manusia di daerah yang parah dengan segala prasarana pendidikan ini. Bagaimana murid-murid di Sabah Sarawak mahu mengajar, belajar dalam serba kekurangan? Sekali lagi, pandangan ini tidaklah mewakili mana-mana parti. Ia lahir mendadak untuk meminta pandangan kaum ibu bapa dan guru-guru khasnya di Kuala Terengganu yang mungkin dapat merumuskan sesuatu tindakan, guna memberikan pengajaran ke atas para pemimpin Melayu yang telah secara biadap merobekkan bahasa ibunda kita selama ini. Guru-guru dan kaum ibu bapa di Kuala Terengganu.. Kegelapan tidak boleh diusir lewat bicara, ubahlah melalui tindakan dan undi. Ketepikan faktor kepartian, letakkanlah matlamat memperkasa pendidikan di depan. Insya Allah, Tuhan bersama kita, RAKYAT MALAYSIA yang dahagakan kebenaran! HarakahDaily.net / Sabtu 27 Disember 2008 | 28 Dzulhijjah 1429 Hijrah |
Saturday, December 27, 2008
PPSMI: Seruan buat ibu bapa, guru-guru di Parlimen Kuala Terengganu
Monday, December 22, 2008
PPSMI: Gapena mungkin bertindak
KOTA BHARU 21 Dis. – Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan.
Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, ini kerana PPSMI secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut beliau, tindakan itu merupakan kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan cendekiawan dan pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.
“Kami rasa ia akan diteruskan. Gapena sangat kecewa dan ia begitu menyeluruh, bukan sahaja kami tetapi kebanyakan cendekiawan Melayu lain seperti bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hasan Ahmad dan Profesor Diraja Ungku Aziz,” katanya.
Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perpaduan Melayu di sini semalam.
Seminar anjuran Gapena itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA).
Menurut Ismail, natijah daripada sikap kerajaan sendiri yang tidak menghormati dan mempercayai kesucian Perlembagaan Persekutuan telah menyebabkan pelbagai pihak mengambil kesempatan memperlekehkan ketuanan Melayu.
“Saya anggap zaman ini iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah zaman Melayu dimalu dan diperlekehkan oleh bangsa lain.
“Ini kerana apabila orang Melayu sendiri gagal memberikan perhatian, jadi mudahlah bangsa lain memalukan kita,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan PPSMI merupakan titik-tolak yang akan membawa kepada kehancuran tamadun Melayu kerana kedudukan bahasa Melayu jelas termaktub dalam Perlembagaan sama seperti agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan Raja-raja, tidak patut diperjudikan.
“Sebaliknya PPSMI telah menyentuh dan merosakkan bahasa Melayu. Pendirian Gapena adalah jelas bahawa tidak sama sekali menyokong bahasa lain selain bahasa Melayu dan kita diminta untuk menguasainya dengan baik.
“Bukan dengan cara ini (PPSMI) kerana kita mempunyai lebih 1,000 cara lain yang akan melemah dan mengurangkan penggunaan bahasa Melayu,” katanya.
Utusan Malaysia 22 Disember 2008 / 24 Zulhijjah 1429
Saturday, December 20, 2008
Gapena beri tempoh Hishammuddin mansuh PPSMI Mac depan
| Ali Bukhari Amir Sat | Dec 20, 08 | 12:58:37 am MYT | |
| KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh) - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) memberi tempoh kepada Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein sehingga 15 Mac depan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). "Saya ugut menteri Hishammuddin agar dia meletakkan jawatan. Apa-apa yang kementerian lakukan sekarang ini berhubung PPSMI ini memang salah. "Kita akan hantar notis dan beri tempoh sehingga 15 Mac sahaja menjelang Perhimpunan Agung Umno. Kalau tidak, kami akan buat laporan polis. Kami sedang menyusun beberapa perancangan berhubung hal itu," kata Ketua Dua Gapena Profesor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar. Beliau berkata demikian dalam Forum Ke Arah Memantapkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu yang membariskan antara lainnya Encik Rusli Abdul Ghani daripada DBP dan Prof Madya Dato' Zainal Abidin Borhan daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. "Dahulu, zaman Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, semua orang takut bercakap. Menteri-menteri takut nak buka mulut. Sekarang, zaman Abdullah Ahmad Badawi, jadi ada sedikit kebebasan bercakap. Jadi, kita bercakaplah," kata beliau. Tambah beliau, sikap orang Melayu sekarang yang lebih suka menjadi 'pak turut' menyebabkan dasar PPSMI ini masih berkekalan dan belum berganjak kepada dasar yang asal. "Politik Malaysia pun dah jadi politik keluarga. Bila Mahathir cakap sesuatu isu, Mukhriz akan sokong. Apabila Abdullah sentuh isu lain, menantunya Khairy pula yang akan sokong," tambah Dr Abdul Latiff. Forum anjuran Pusat Dialog Peradaban bersama Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) itu berlangsung di Rumah Universiti, Universiti Malaya dan dipengerusikan oleh Profesor Dato' Dr Abu Bakar Abdul Hamid. _ Harakahdaily.net |
Friday, December 19, 2008
Kesatuan guru tolak tujuh pilihan PPSMI
Oleh Amir Hamzah Nordin
bhnews@bharian.com.my
Sains, Matematik dalam BI jadi beban berganda
JERANTUT: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menolak ketetapan dibuat dalam Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.
Presidennya, Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata tujuh pilihan itu menjadi semakin keliru dan menyukarkan semua pihak untuk membuat pilihan.
"Kita mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa teras untuk memudahkan pelajar mempelajari kedua-dua subjek itu tanpa kekangan bahasa.
"Dua subjek itu membebankan dan ditambah pula dengan masalah bahasa akan menjadikan bebanan berganda kepada pelajar, sekali gus menyebabkan mereka terus keciciran," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Mohamad Sabri berkata, tujuh pilihan disediakan itu seolah-olah tidak memberi peluang dan ruang untuk rakyat memilih kerana semuanya turut menjurus ke arah mahu mengadakan pengajaran dalam bahasa Inggeris.
Katanya, antara masalah dikenal pasti ialah kemahiran guru dalam bahasa Inggeris untuk mengajar dua subjek berkenaan adalah terhad dan ia bakal memberi masalah kepada murid.
"Perkara ini menjadi lebih kritikal di pedalaman, malah keluarga di bandar juga menghadapi masalah sama jika bahasa Inggeris bukan bahasa harian mereka.
"Jadikanlah pemansuhan tulisan Jawi di sekolah rendah pada 60-an sebagai iktibar kerana kesannya kepada generasi sekarang menyebabkan mereka tidak boleh menulis dan membaca jawi dengan lancar sehingga akhbar jawi terus ditutup," katanya.
Mohamad Sabri berkata, peratusan pelajar yang dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang juga masih rendah, berbanding mereka yang berada di negara ini.
"Jika kita mahu menghantar pelajar ke luar negara, mereka perlu menghadiri kelas khas atau persediaan seperti diamalkan sebelum ini dan mampu berjaya cemerlang di luar negara.
"Jadi, alasan pengajaran dalam bahasa Inggeris itu untuk menyaingi dan selari dengan keperluan global adalah tidak patriotik sekali," katanya.
Beliau juga menyokong pendapat Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang mahukan bahasa Melayu kekal dalam subjek berkenaan.
BERITA HARIAN 20 DISEMBER 2008
Friday, December 12, 2008
PPSMI tidak adil untuk pelajar luar bandar - Gapena
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, pelaksanaan PPSMI akan mewujudkan jurang besar dari aspek prestasi pelajar sekolah luar bandar berbanding mereka di bandar.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi penekanan yang berbeza terhadap kemahiran bahasa Inggeris pelajar sekolah di luar bandar dan di bandar kerana mereka diketahui kurang mendapat pendedahan.
"Ada cara untuk kita mempertingkatkan kekuatan bahasa kedua itu di kalangan pelajar dan yang pasti PPSMI bukan satu cara yang efektif," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ismail mengulas mengenai pelaksanaan PPSMI dan pendirian Gapena yang membantah sekeras- kerasnya sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskannya pada masa akan datang.
Katanya, Gapena tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI yang dilihat mampu mengetepikan martabat bahasa kebangsaan serta melanggar Perlembagaan negara.
"Saya berasa tidak adil dan kasihan kepada anak-anak Melayu di luar bandar. Sudahlah mereka lemah dalam Matematik dan Sains, kini ia menjadi lebih susah untuk mereka apabila PPSMI dilaksanakan.
"Ini sudah tentu akan memberi kesan buruk kepada mereka. Harus ada cara yang lebih baik untuk membantu," katanya.
Menurut beliau, Gapena sendiri akan memainkan peranan bagi membantu golongan pelajar terutama di luar bandar memperkukuhkan bahasa Inggeris mereka tanpa perlu memberi penekanan terhadap penggunaanya dalam mata pelajaran Matematik atau Sains.
"Kita ada kepakaran. Kita setuju apabila ada cara untuk mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar tetapi bukan dengan pelaksanaan PPSMI. Ia harus diasingkan," katanya.
Beliau berkata, Gapena akan menentang habis-habisan walaupun ada cadangan untuk melaksanakan pengajaran bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran lain.
Utusan Malaysia: Sabtu 13 Disember 2008 / 15 Zulhijjah 1429Wednesday, December 3, 2008
Bahasa Melayu perlu dibela
Prof. Dr. Awang telah berkecimpung dalam arena bahasa selama hampir 30 tahun. Mana mungkin beliau tidak memahami rencah dan rentak kepentingan bahasa Melayu. Barangkali Saudara Zafran boleh membaca dan mencari maklumat mengenai biodata Awang Sariyan.
Kenapa perlu bahasa Inggeris menjadi pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik? Apa masalah yang dihadapi kalau diajar dalam bahasa Melayu?
Persoalan ini sudah diulas panjang lebar sebelum ini. Persoalannya kini bukan kerana Sains dan Matematik semata-mata. Ini berkaitan masa depan bahasa kebangsaan kita.
Kenapa hanya kedua-dua mata pelajaran itu harus diajar dalam bahasa Inggeris. Kenapa tidak mata pelajaran Sejarah, Geografi, Pendidikan Seni dan sebagainya? Saya tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris kerana hampir 400 juta orang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama di dunia ini.
Tetapi bagaimana kalau kita mengeksploitasikan kelebihan bahasa Inggeris ini untuk memartabatkan bahasa Melayu. Bukan untuk menafikan peranannya sebagai bahasa ilmu.
Organisasi yang kita boleh sandarkan harapan ketika ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP sebagai badan memperjuangkan bahasa harus berani 'mengaum' walaupun pangkat dan kedudukan menjadi taruhan.
Struktur dan corak DBP harus dinilai semula. Cadangan saya agar DBP diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Biarpun tiada masalah jika ia berada di bawah Kementerian Pelajaran tetapi seolah-olah skopnya hanya untuk pelajar sekolah.
Kita mahu bahasa ibunda dipertahankan dan dipertingkatkan. Misi itu jelas dan tidak akan berubah selagi Perlembagaan Negara masih terpelihara 'kesuciannya'.
DBP boleh bertindak menaungi bahasa-bahasa lain di Malaysia ini. Saya ingin melihat puisi, cerpen, rencana, syair bahkan pantun (kalau tepat rimanya) sekalipun dalam bahasa Iban, Melanau dan pelbagai lagi bahasa yang ada di Malaysia.
Tetapi harus diingat bahawa bahasa Melayu adalah salah satu tunjang dan wadah perjuangan DBP.
Soal ilmu dan pembelajaran bukan satu perkara yang boleh dicuba-cuba. Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang diibaratkan 'lebih kuah dari sudu, lebih Inggeris dari Melayu'.
Penguasaan bahasa Melayu kita pun masih di tahap merangkak, terus hendak berlari mendapatkan bahasa Inggeris. Ini bukan soal perkauman tetapi penyatuan.
Selama berpuluh-puluh tahun, bahasa Melayu menjadi bahasa penyatuan rakyat Malaysia. Tiada masalah pun sehinggalah ada pihak cuba menafikan peranan bahasa kebangsaan kita ini.
Ajarlah ilmu pengetahuan selaras ayat al-Quran di bawah:
''Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." - Surah Ibrahim, Ayat 4
Setiap daripada itu, kita harus mempunyai kesedaran berterusan betapa pentingnya bahasa Melayu dipertahankan. Matlamat kita jelas dan tegas, mahu matapelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa ibunda.
Wahai rakyat Malaysia, kita ada tiga pilihan - melawan, menyerah kalah atau membaca penyataan ini sambil menggeleng-gelengkan kepala.
MUTALIB KASIM
Pelajar Tahun Akhir
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Tun Rahman Ya'kub bantah pengajaran guna bahasa Inggeris
KUCHING: Bahasa Melayu akan menjadi bahasa melukut di tepi gantang jika Kementerian Pelajaran meneruskan keputusan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Bekas Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang membantah keputusan itu sekeras-kerasnya, berkata bahasa Melayu tidak sepatutnya dipinggirkan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran berkenaan.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak berkata, setakat ini tiada bukti bahawa pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak dapat bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, sejak dasar Bahasa Kebangsaan dilaksanakannya pada 1970, kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Melayu bermula Tahun Satu hingga Tingkatan Enam, malah ramai yang bergelar pakar dalam Sains dan Matematik di negara ini sekarang, mempelajarinya dalam bahasa Melayu.
"Jadi, langkah Kementerian Pelajaran mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu harus ditentang.
"Saya membantah keputusan itu sekeras-kerasnya dan pihak berkaitan perlu mengajar kedua-dua subjek itu semula dalam bahasa Melayu," katanya selepas berucap pada majlis Wacana Ilmu bertajuk Pembangunan Pendidikan di Sarawak, anjuran Institut Aminuddin Baki di Pusat Maklumat Islam (PMI) di sini, semalam.
Abdul Rahman berkata, beliau tidak melarang warga negara ini mempelajari bahasa lain, termasuk bahasa Jerman, namun tidak setuju kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris kerana ia akan memberi kesan mendalam kepada murid-murid yang mempelajarinya terutama peringkat rendah.
Selain itu, katanya, langkah berkenaan akan menimbulkan pelbagai masalah berkaitan termasuk kos yang tinggi bagi menyediakan tenaga pengajar yang dapat menarik murid mempelajari kedua-dua mata pelajaran berkenaan.
Beliau yang juga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkata, orang politik tidak sepatutnya campur tangan dalam soal bahasa, sebaliknya menyerahkannya kepada pakar bidang itu membuat keputusan.
Katanya, sebarang keputusan yang hendak dibuat harus dirujuk kepada beberapa pakar dalam bidang berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1970-an, negara berdepan dengan kekurangan guru Sains yang kritikal.
Katanya, bagi mengatasi masalah itu, beliau pergi ke Indonesia untuk mendapatkan kerjasama dengan meminjamkan seberapa ramai guru Sains selama tiga tahun untuk bertugas di sekolah di negara ini.
"Hasilnya amat membanggakan dan ramai guru dari Indonesia enggan pulang ke tanah air mereka selepas tempoh tiga tahun berakhir kerana mereka selesa dengan keamanan dan perpaduan di negara ini," katanya.
Abdul Rahman berkata, mentaliti pemimpin Melayu Sarawak pada zaman penjajah rajah kulit putih ialah tidak mahu melihat orang Melayu mendapat pendidikan sempurna kerana khuatir akan menyaingi mereka.
Selain itu katanya, masalah kewangan dan sikap tidak yakin kepada kemampuan diri sendiri menyebabkan ramai di antara mereka tidak melanjutkan pelajaran.
Bahasa Melayu bagai melukut di tepi gantang
Sikap keprihatinan begini perlu dipuji dan kalau sikap mulia ini diteruskan setiap kali bahasa Melayu dipinggirkan dalam kapasitinya selaku bahasa negara, ia perlu disanjungi setinggi-tingginya. Namun, sikap sedemikian tidak selalu bersifat konsisten.
Sebenarnya, bahasa Melayu banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu.
Sudah untuk beberapa ketika, banyak majlis dan acara kenegaraan dihadiri hanya rakyat negara ini, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya ia menggunakan bahasa Inggeris.
Kini, nama dalam bahasa Inggeris pula menjadi pilihan. Pada April lalu, Bank Pertanian mengumumkan nama barunya, iaitu Agrobank. Mara yang dikenali sebagai satu entiti Melayu yang kuat, juga memilih nama dalam bahasa Inggeris, iaitu MaraLiner untuk menggantikan nama dalam bahasa Melayu untuk basnya.
Nama dalam bahasa Inggeris terus menjadi pilihan pelbagai pihak, termasuk syarikat milik kerajaan. Penamaan motosikal negara juga tidak terlepas daripada kecenderungan ini, apabila nama dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada satu-satunya objek yang menjadi identiti serta kebanggaan bangsa Melayu, iaitu 'keris' dieja secara bahasa Inggeris, dalam bentuk KRISS.
Kereta nasional juga mula menggunakan bahasa Inggeris, dengan pelancaran model baru: (Satria) Neo, Persona, GEN2, Savvy, MYVI dan VIVA. Apakah nama dalam bahasa Melayu seperti Saga, Iswara, Wira, Satria, Putra, Waja, Perdana, Kancil, Tiara, Kenari, Kelisa dan Rusa sudah tidak layak dalam bahasa Melayu?
Kebanyakan bangunan dan pembangunan kawasan baru ikut diberi nama dalam bahasa Inggeris. Antaranya termasuk One Borneo di Kota Kinabalu dan Bangsar South di Kuala Lumpur. Kelantan yang selalu disebut sebagai antara benteng kemelayuan yang kuat di negara ini, ikut terheret dalam gejala ini. KB Mall dan Pelangi Mall adalah nama dua tempat beli-belah terbaru dan termoden di Kota Bharu.
Percakapan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi dalam majlis formal, misalnya rancangan radio dan televisyen, serta ucapan rasmi pemimpin berleluasa sekali kini sehingga menjadi satu budaya nasional.
Apakah yang kita lakukan secara serius, seperti yang dilakukan oleh pihak tertentu, dalam kes di Pulau Pinang ini, terhadap semua gejala yang meminggirkan bahasa Melayu selaku bahasa negara?
Dalam beberapa kes, implikasinya adalah jauh lebih parah daripada penggunaan bahasa Cina dan Tamil yang tidak kena pada tempatnya, seperti yang bakal dilakukan di Pulau Pinang.
PROF DR TEO KOK SEONG,
Profesor Sosiolinguistik
Bahasa Melayu UKM,
Bangi, Selangor. BERITA HARIAN Selasa, 11 November 2008/13 Zulkaedah 1429
Bahasa Inggeris bukan jaminan kejayaan
Kita sanggup menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik ke bahasa Inggeris kononnya bagi memajukan bangsa kita bersaing di arena antarabangsa.
Sains dan Matematik, jika dikaji dengan teliti, kaya dengan istilah tertentu dan dalam bahasa apa pun istilah itu bersamaan.
Kedua-dua subjek itu juga kaya dengan budaya bahasa. Malang sekali, bagi kita untuk memperbaiki pengajaran bahasa Inggeris kita buat seperti perumpamaan Melayu, 'lain bengkak, lain bernanah, lain sakit lain diubat'.
Saya terlibat secara langsung tentang cara bagaimana kita mendaulatkan bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa kebangsaan.
Kerajaan kita tubuhkan Maktab Perguruan Bahasa dan di maktab inilah dibuat kajian dan susunan bagaimana bahasa Melayu boleh didaulatkan.
Hasilnya semua pengajaran boleh diajar dalam bahasa Melayu. Guru dan pelajar menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar dilatih oleh guru-guru lepasan Maktab Perguruan Bahasa yang dilatih khas mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Hari ini pihak kementerian sepatutnya menubuh Maktab Khas Bahasa Inggeris untuk pengajaran bahasa itu sebagai bahasa kedua. Kajian khusus patut dilakukan bagaimana meningkatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Kita menukar Sains dan Matematik ke bahasa Inggeris menunjukkan negara kita tidak yakin kepada bahasa kita sendiri.
Perancis, Jerman dan Jepun terus maju biarpun mereka menggunakan bahasa mereka sendiri. Kekuatan sesuatu bangsa itu amat bergantung kepada semangat juang terhadap bahasa dan bangsanya.
Datuk Muhammad Alias terkejut hanya 200,000 naskhah sahaja akhbar utama Melayu terjual. Kita perlu semak balik, sebelum Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, akhbar Melayu telah dapat mengatasi akhbar berbahasa lain.
Saya melihat tidak ada cacatnya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, anak saya dua orang, seorang belajar jurusan kejuruteraan kimia di Amerika Syarikat dan mengikuti Sains dan Matematik di sana tiada masalah pun.
Begitu juga anak saya yang bongsu belajar Sains Kesihatan dalam bidang aubiologi di Queensland University, Brisbane, Australia hingga mendapat Doktor Falsafah dan dia kini mengajar di UIA, Kuantan.
Menurutnya, dia adalah di antara tiga graduan terulung yang mendapat Ijazah Doktor Falsafah tersebut di kalangan rakyat Malaysia. Beliau tiada masalah apa pun mengenai bahasa.
Masalah kita kini, ada di antara pemimpin lama kita yang dahulunya belajar bahasa pengantar bahasa Inggeris ingin melihat anak-anak mereka fasih betul berbahasa Inggeris dengan cara 'Queen English'.
Rasanya, tidak lewatlah untuk Kementerian Pelajaran menukar semula Sains dan Matematik ke bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran dianjurkan menubuhkan Maktab Perguruan Bahasa yang dapat menjana pengajaran bahasa Inggeris terbaik termasuk bahasa al-Quran/bahasa Arab dan lain-lain.
Panglima Bahasa Negara, Allahyarham Tun Syed Nasir, jika masih hidup, tentu beliau menangis kerana usaha yang gigih itu, telah digagalkan oleh golongan yang tidak memahami perjuangan bangsa Melayu era kemerdekaan yang ingin memartabatkan bangsanya seiring dengan bangsa lain di dunia.
Kami dahulu adalah peneroka pelajar Melayu yang mengikuti pengajaran semua mata pelajaran bahasa Melayu, walaupun masa itu semua rujuk dalam bahasa Inggeris.
Kami tidak menghadapi masalah kerana semangat juang untuk meninggikan taraf bahasa Melayu. Kami masuk belajar di Universiti Malaya pada tahun 1968 dan menerima ijazah pada tahun 1971 dengan kelulusan yang baik.
Saya yakin apa yang diutarakan oleh Datuk Muhammad Alias, bekas diplomat Malaysia itu amat wajar mendapat perhatian masyarakat Melayu khususnya di saat-saat ketuanan Melayu dan kedaulatan raja-raja dicabar.
Jika masih kekalkan kedua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris, ia ibarat usaha memencilkan anak-anak Melayu luar bandar yang tidak berlatarbelakangkan bahasa Inggeris di bandar dengan semua kemudahan yang ada.
Berilah semua peluang yang sama, di luar bandarlah lahirnya pejuang UMNO yang terus setia. Terus kita perjuangkan Utusan Malaysia sebagai akhbar Melayu terulung.
DATUK DR. DZULKARNAIN ABDUL RAHMAN
Naib Presiden II
Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia
Kembalikan Sains, Matematik dalam bahasa Melayu
Tidak ada alasan yang konkrit dan jitu untuk meneruskan pelaksanaan PPSMI. Harus diingat bahawa pelaksanaan PPSMI pada tahun 2002, bukanlah dilaksanakan dengan perancangan dan kajian yang teliti, sebaliknya ia hanya muncul hasil daripada hasrat dan kehendak individu tertentu, sedangkan tidak ada alasan yang kukuh untuk memaksa pelaksanaan PPSMI pada waktu itu, melainkan kehendak orang politik tertentu semata-mata.
Oleh itu, maka apa perlunya sehingga kini kita masih lagi berdolak-dalik, dalam hal yang berkaitan dengan PPSMI, dengan pelbagai alasan semata-mata untuk mengesahkan pelaksanaan dasar yang sememangnya bercelaru dan tidak utuh sifatnya.
Apa yang nyata pelaksanaan PPSMI, memperlihatkan dengan jelas akan keruntuhan integriti di kalangan pencetus dan penyokongnya serta bangsa Melayu seluruhnya.
Integiriti dalam konteks patuh dan akur terhadap apa yang telah dilembagakan dan dipersetujui bersama sebagai satu kontrak sosial.
Pelaksanaan PPSMI, jelas sekali memperlihatkan sikap yang tidak beretika di kalangan pencetus, perencana dan penyokongnya apabila dengan jelas telah mencabuli peruntukan 152 dalam Perlembagaan, Akta Pendidikan 1996, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan Rukunegara.
Kedudukan dan peranan bahasa Melayu telah diperjelaskan dengan nyata dalam kesemua akta berkaitan, hal ini telah diperteguhkan pula dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, di atas kerangka untuk membina dan memperkayakan bahasa kebangsaan.
Maknanya, bahasa Melayu dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan membawa roh yang tersirat bukan sahaja setakat bahawa komunikasi, tetapi juga sebagai bahasa ilmu, sebagai bahasa moden yang berperanan dalam pembangunan pendidikan dan proses penjanaan ilmu.
Hal ini telah dipertegaskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, antara lain menyatakan: "Cabaran KPM adalah untuk memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan."
Persoalannya, apakah segala apa yang dihasratkan ini akan menjadi kenyataan dengan terus mengekalkan pelaksanaan PPSMI. Apa yang nyata ia tidak lebih daripada satu kekeliruan pemikiran serta memperjelaskan dengan nyata bahawa kita sebenarnya tidak mempunyai integriti dan bersikap tidak adil terhadap bahasa Melayu dan terhadap segala peruntukkan undang-undang yang dibuat.
Bagaimana mungkin sesuatu yang telah direncana dan diperundangkan dirombak sewenang-wenangnya, hanya untuk melayan pemikiran yang kabur terhadap realiti konsep pembangunan bangsa.
Agak malang dalam kesibukan memperkatakan soal integriti, hakikatnya kita (bangsa Melayu) telah memperlihatkan jiwa dan sikap yang tidak berintegriti khususnya dalam konteks mematuhi apa yang telah disuratkan sepanjang yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu.
Kita mencanangkan soal yang berkaitan dengan kepatuhan kepada Rukun Negara sebagai ideologi negara sebagai wadah perpaduan bangsa, tetapi realitinya kita (bangsa Melayu) tidak seutuhnya menjunjung asas-asas pernyataan prinsip Rukun Negara.
Dinyatakan bahawa Rukun Negara mengikrarkan lima prinsip: Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan, namun dalam pelaksanaan PPSMI jelas sekali terkeluar daripada apa yang diikrarkan dalam Rukun Negara. Di sini terlihat musnahnya integriti bangsa Melayu, apabila wujudnya pelanggaran terhadap apa yang diikrarkan.
Pelaksanaan PPSMI nampak jelas tidak mempedulikan semangat dan roh yang terkandung dalam Perlembagaan Negara, serta amat jelas pertetangan kehendak sebagaimana yang digariskan dalam Rukun Negara.
Dalam hal ini, bagaimana orang mahu menghormati bangsa Melayu, kalau bangsa Melayu itu sendiri tidak mempunyai integriti dan tidak tahu menghormati bangsanya.
Oleh yang demikian, dengan tegas pelaksanaan PPSMI perlu ditamatkan segera dan kita tidak perlu menunggu persidangan meja bulat diadakan selanjutnya, kerana apa yang dikatakan persidangan meja bulat itu, tidak lebih sekadar helah untuk terus melanjutkan PPSMI dan merendahkan status bahasa Melayu.
Orang Melayu sekiranya masih mahu dihormati dan terus dipandang tinggi dalam aspek integriti perlu tegas dan berani untuk bertindak menamatkan PPSMI. Bagaimanapun ini tidak bermakna kita menidakkan akan kepentingan bahasa Inggeris dalam konteks usaha pembelajaran dan pengajaran.
DR. KAMARUDIN MUSA
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjong Malim, Perak
Perjuangan martabat bahasa Melayu kian menyimpang
Kita mengamalkan budaya bahasa rojak seolah-olah ia betul dan tiada cacat cela. Kita begitu asyik dengan ketertiban lain bukan berusaha menjiwai bahasa jiwa bangsa? Kenapa perihal bahasa dipandang enteng? Kenapa kita tidak memelihara bahasa kita dengan penuh ketertiban dan keikhlasan?
Saya amat bersetuju supaya merancakkan lagi soal bahasa jiwa bangsa.
Bahasa sebagai penyatu negara dan pembina tamadun mesti disemarakkan agar dunia Melayu semakin terserlah dan dominan. Ketamadunan Melayu sejak berabad lagi amat disegani dan dilestarikan oleh sarjana orientalis dan sebaliknya di seluruh dunia.
Mereka dari jauh dan dekat mempelajari dan mengadakan dana serta jawatan untuk bersama memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti ternama.
Malangnya kita kini menghadapi soal jati diri dan krisis mendalam mengenai siapakah kita sebenar sebagai orang Melayu. Kita mudah bertolak ansur sehinggakan kita mengorbankan jati diri dan sekali gus kehilangan punca.
Apakah kerana faktor pendewasaan bahasa Melayu yang lemah? Apakah kerana bahasa Melayu tidak ada nilai ekonomi dan tidak berkuasa di sektor swasta? Apakah bahasa Melayu kurang mampu bersaing dengan bahasa dunia lain bahkan sekadar di Nusantara saja?
Pokoknya, saya kecewa dan hampa melihat fenomena bahasa jiwa bangsa semakin terpinggir kepentingannya tanpa sosialisasi yang berkesinambungan.
Pihak berwajib perlu melaksanakan program dan dasar yang lebih tegas jika ketamadunan kita mahu dihormati dan bahasa Melayu kekal sebagai wadah penyatuan bangsa bukan sebaliknya.
Justeru, gerakan kebahasaan dan kesusasteraan perlu dirintis secara bersepadu dengan kerjasama golongan cerdik pandai dan pemerintah supaya bahasa Melayu menjadi wadah perpaduan, integrasi dan ketamadunan bangsa dan negara.
Budaya memartabatkan perlu dikomunikasi di semua sektor, bukan terbatas terhadap sektor awam saja.
Hakikat nilai bahasa Melayu bergantung kepada nilai ekonomi malangnya menjadi satu kekecewaan besar dalam konteks sosialisasi bahasa di negara kita.
Kenapa ini berlaku kerana pada hemat saya kita sudah terpesong jauh daripada perjuangan asal nenek moyang kita. Maka, marilah kita ke pangkal jalan selagi kita masih berkuasa. Tepuk dada tanya selera.
PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
Pusat Pengajian Komunikasi USM,
Pulau Pinang.
- BERITA HARIAN /SURAT/Rabu, 11 Jun 2008 /6 Jamadilakhir 1429
Sejarah,tamadun bahasa Melayu perlu dihormati
SEBELUM merdeka, bahasa Melayu bertaraf bahasa kebangsaan bagi bangsa Melayu di negara ini, tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu bertaraf bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara kita yang penduduknya pelbagai bangsa dan keturunan.
Justeru, tidak timbul persoalan bahasa Melayu perlu bertukar nama atau tidak kerana hakikat sejarah sejak zaman kuno, zaman klasik (kerajaan Sriwijaya, Majapahit, Palembang, Melaka sehingga kini) itulah nama yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Rakyat England yang juga pelbagai bangsa dan keturunan juga tidak pun meminta agar bahasa 'English' itu ditukar kepada bahasa negara "England", yang juga tidak diminta rakyat Amerika, Australia dan New Zealand.
Seperti bahasa Mandarin atau Tamil dan Inggeris tidak wajar diminta menukar namanya, begitu juga bahasa Melayu tidak wajar dan tidak munasabah ditukar namanya atas apa juga alasan, apatah lagi atas alasan perpaduan.
Jika itulah alasannya, jelas secara tersurat dan tersirat semacam ada unsur tidak selesa atau perasaan `benci` jika namanya bahasa Melayu dan sebaliknya jika namanya bahasa Malaysia.
Warga negara yang rasional tidak sepatutnya membenci bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara sendiri walau apapun namanya. Hakikat sejarah dan tamadun bahasa Melayu sebagai citra dan jati diri negara ini perlu dihormati dan diterima dengan hati yang ikhlas dan terbuka.
Seperti ditegaskan, mana-mana kaum atau bangsa di negara ini tidak berhak membenci mana-mana bahasa dan atas apa juga sebab pun. Tiada 'dosanya' bahasa Melayu itu seperti tiada juga dosa bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan, Iban, Perancis, Jerman dan lain-lain untuk ditukar namanya dulu sebelum dipelajari, disayangi dan sebagainya.
Bahasa bukanlah milik mana-mana individu, tetapi milik sesuatu bangsa dan sesiapa saja yang mempelajarinya.
Dalam pada itu, kemelut bahasa Melayu di media elektronik masih belum reda, malah semakin parah. Penggunaan bahasa Melayu oleh pemimpin dan tokoh korporat yang bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris atau penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam temu bual bagi siaran berita di televisyen, semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Perkara berkaitan hal dalaman negara ini seperti isu beras, petani, keselamatan jalan raya, perkhidmatan bank juga menggunakan bahasa Inggeris, sedangkan ia berhak diketahui semua golongan di negara ini.
Alangkah baik jika pemimpin menggunakan bahasa kebangsaan negara ini yang difahami oleh semua tanpa kecuali (berbanding bahasa Inggeris yang walaupun meluas, tetapi masih terhad) dan disediakan sari kata dalam bahasa Inggeris.
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.
- BERITA HARIAN/SURAT/Sabtu, 07 Jun 2008/ 2 Jamadilakhir 1429
MELAYUKAH KITA?
jika hanya pada wajah
jika hanya pada mata
jika pada kulit sawo matang
jika berhimpun kita hanya berdansa?
Melayukah kita?
jika berbicara cengil dan melatah
jika surau kosong belaka
jika bersalam berlaga dada?
Melayukah kita?
jika bersidang bermanis muka
jika bersurai mula mencerca?
Melayukah kita?
jika hanya pada kata-kata
jika terlupa nahu dan tatabahasa?
Melayukah kita?
jika melihat keris hanya senjata
jika Melayu hanya sekadar nama
hingga mereka tersenyum
bertanya, itukah Melayu yang berbudi bahasa?
Bahasa Melayu elak lenyap di negara sendiri
KEKECEWAAN terasa di dalam hati kecil saya apabila memperkatakan isu bahasa di negara ini. Apakah benar bahasa Melayu semakin terpinggir di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bahasa ini.
Adakah akan wujud kepelbagaian bahasa kebangsaan di negara kita ini seperti yang berlaku di Singapura. Jika pemimpin kita tidak dapat mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak lagi sebagai bahasa kedua sebaliknya menjadi bahasa kebangsaan.
Keadaan ini mula menjadi kerisauan hati saya sejak pengajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris pada 2000. Sehingga sekarang ia masih dijalankan walaupun pelbagai pihak menentang sekeras-kerasnya pelaksanaannya.
Untuk pengetahuan, pelajar yang menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam Sains Tulen, pelajar tidak akan menggunakan bahasa Melayu kecuali bagi Pengajian Am.
Selepas itu satu persatu isu bahasa Melayu ini melarat tanpa mengundang keprihatinan pemimpin. Hati kecil saya rasa terusik lagi apabila menonton siaran berita dengan menyiarkan wawancara dengan pelbagai tokoh terutama yang berkaitan dengan ekonomi dan perniagaan.
Hampir semua tokoh yang diwawancara menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar walaupun tokoh itu berbangsa Melayu. Dalam hal ini, kita tidak dapat mengharapkan kaum lain bercakap bahasa Melayu jika orang Melayu sendiri meminggirkan bahasa ibunda.
Saya merasakan apa yang disampaikan tidak dapat difahami dan dihayati orang kampung. Ini akan menyebabkan maklumat penting tidak dapat disampaikan terutama dari segi politik dan ekonomi. Tinggallah orang kampung dalam kemunduran di dalam negara sendiri.
Apa salahnya dengan istilah Bank Bumiputera hingga ditukarkan kepada CIMB? Begitu juga dengan Bank Pertanian menjadi Agrobank bagi mencapai tahap korporatnya. Terbaru LAN (Lembaga Akreditasi Negara) kepada MQA (Malaysia Quality Agency). Banyak lagi langkah untuk meminggirkan bahasa Melayu .
Apakah tidak ada unsur korporat atau komersial bahasa Melayu kita dan mengapakah kita tidak dapat mempertahankan kewujudan bahasa Melayu ini? Ini tidak termasuk iklan yang disiarkan sekarang yang sememangnya terkeluar daripada dasar bahasa ditetapkan.
Bagi pemimpin yang masih ada semangat kemelayuan, kita berharap mereka dapat memperbaiki masalah ini sebelum menjadi barah. Tidak salah jika kembali memperkasakan bahasa Melayu seperti diperjuangkan sejak zaman Allahyarham Tun Abdul Razak. Berlembut biarlah bertempat, jangan sampai kita dipersalahkan generasi akan datang.
MELAYU PRIHATIN,
Jasin, Melaka.
Berita Harian
Mengangkat taraf bahasa Melayu
Entah berapa kali lagi beliau akan berasa pilu begitu, bergantung kepada berapa banyak lagi tindak-tanduk songsang yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang tidak yakin dengan ketinggian martabat bahasa kebangsaan itu.
Ironinya, orang yang berasa pilu ini bukanlah orang Melayu, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang tulen; di tapak kakinya bumi Melayu dan di atas kepalanya pula langit Melayu, hati Prof Teo begitu tersentuh apabila melihat bahasa yang dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Isu menggantikan nama Bank Pertanian kepada Agrobank adalah satu daripada sedemikian banyak penderhakaan bahasa yang menggugat bahasa yang berdaulat itu.
Ini satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa golongan teknokrat, ekonomi, malahan sebahagian pemimpin negara sendiri tidak yakin akan kemampuan bahasa Melayu untuk membawa negara ke taraf dunia. Mereka begitu sinis mengenai kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa negara Malaysia yang maju.
Seolah-olah bagi mereka jika mahu diiktiraf sebagai negara maju, segala-galanya mesti ditukar sehingga menyamai citra bangsa yang sudah mencapai status itu.
Saya sungguh hairan, selepas sekian lama Prof Teo khususnya dan pahlawan bahasa kebangsaan amnya, meluahkan pandangan melalui pelbagai media dan forum, sebilangan rakyat Malaysia, malahan sebilangan orang Melayu sendiri masih belum celik bahasa!
Seharusnya, sebagai manusia yang berperasaan, sekurang-kurangnya orang Melayu akan berasa cemburu atau malu apabila orang lain pula yang berusaha keras mempertahankan bahasa Melayu.
Sejak sekian lama, Bank Pertanian menjadi tumpuan sebilangan besar petani Melayu untuk mendapatkan bantuan bagi mengembang dan meningkatkan lagi ekonomi mereka. Iklan televisyen bank itu yang disiarkan secara agresif sejak beberapa hari lalu, memaparkan anak petani Melayu yang kehairanan kerana bank itu dipindahkan ke lokasi baru dan memiliki nama baru. Anak itu dibantu oleh seorang penjual ikan keturunan Cina dan seorang wanita tua juga keturunan Cina untuk sampai ke bank itu.
Apakah adegan yang sudah tentu jalan cerita dan skripnya itu dihasilkan oleh pihak pengurusan bank itu, tidak dihayati oleh mereka sendiri? Barangkali ramai yang sudah menjadi seperti burung kakak tua; tahu berkata-kata tetapi tidak memahami apa yang diperkatakan. Tidak mengapalah jika falsafah yang tersirat di sebalik watak anak Melayu, dan bantuan yang dihulurkan lelaki serta wanita Cina itu tidak difahami, tetapi sekurang-kurangnya fahami kekeliruan anak itu akibat perubahan yang dilakukan. Kekeliruan sebeginilah yang memilukan Prof Teo dan sebilangan besar pewaris bahasa Melayu.
Kita tidak menafikan bahawa untuk maju, kita perlu berubah. Hal ini banyak kali dirujuk sebagai tuntutan melakukan anjakan paradigma. Namun, saya melihat kefahaman mengenai anjakan paradigma yang perlu dibuat itu hanya sekadar retorik tanpa memahami persoalan asas iaitu; apa, dan bagai-mana.
Kita dituntut supaya berganjak dengan maksud bahawa kita perlu meletakkan diri bangsa kita pada tahap yang lebih tinggi tanpa mengubah ciri identiti bangsa. Kita bukan disuruh berpindah atau berubah menjadi bangsa lain. Kita hanya perlu melakukan reformasi; ciri jati diri masih kelihatan tetapi sudah berkembang dari pelbagai sudut termasuk sosio ekonomi, sosio politik dan sebagainya.
Timbalan Perdana Menteri beberapa kali menyarankan supaya bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya, bersedia menjadi bangsa yang bersifat glokal.
Glokalisasi atau proses pewatanan perlu dilakukan sebelum Wawasan 2020 dicapai. Kita mempunyai visi untuk maju berdasarkan acuan kita sendiri. Slogan ini menunjukkan bahawa hasrat kerajaan ialah untuk membawa bangsa Malaysia menjadi jaguh kelas dunia dalam semua bidang.
Untuk mencapai tahap jaguh dunia itu, kita patut sedar bahawa segala ciri jati diri bangsa kita hendaklah diperkukuhkan termasuk mengangkat bahasa kebangsaan kita sendiri ke tahap dunia juga. Jika tidak, tatkala kita mahu mengisytiharkan negara kita sudah maju, dunia akan memandang sinis apabila 'perisytiharan' itu kelak dilafazkan menggunakan bahasa asing. Ingatkah betapa kagumnya kita dan terkejutnya dunia tatkala Tan Sri Razali Ismail berucap di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan bahasa Melayu?
Pada hal, sebelum itu berkali-kali beliau menyampaikan ucapan di forum itu, tetapi tidak sebegitu impaknya kerana menggunakan bahasa Inggeris.
Kehadiran Malaysia pada mata dunia sudah menjadi begitu ketara dan segala langkah menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan kita dalam sebarang penjenamaan semula atau sebagainya adalah dianggap sebagai langkah yang mengundur, sedangkan kita mahu maju.
Mudah-mudahan, Prof Teo tidak lagi pilu selepas ini.
DR SHARIFUDIN LUBIS,
Fakulti Bahasa Moden
dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.
Bahasa Melayu dipinggir bangsa sendiri
SAYA tertarik dengan pandangan Dr Sharifudin Lubis dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia berhubung kepiluan Prof Dr Teo Kok Seong mengenai masa depan bahasa Melayu, di akhbar ini, kelmarin.
Analisis Dr Sharifudin memang bernas dan mempunyai mesej jelas. Saya juga bersetuju dengan keluhan Prof Teo yang begitu cekal memperjuangkan bahasa Melayu. Saya melihat bahasa Melayu kini semakin terpinggir bukan saja di Malaysia, malah di Nusantara atau alam Melayu.
Apa yang menarik seperti pandangan Dr Sharifudin, masyarakat bukan Melayu lebih memberikan perhatian mengenai nasib dan masa depan bahasa Melayu berbanding orang Melayu.
Barangkali orang Melayu berminat menjadi 'orang putih' dan tanpa mereka sedari meminggirkan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan negara.
Saya risau mengenai kemunduran dan kelesuan bahasa Melayu yang semakin hari dianaktirikan oleh masyarakat Malaysia, terutama orang Melayu.
Saya teringat ucapan Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah dalam satu Seminar Bahasa Rojak yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini. Titah baginda bahawa rakyat Malaysia perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.
Mesej itu masih segar dalam ingatan saya, walaupun ia tidak diberikan liputan media secara meluas ketika itu. Dalam kes terbaru, mungkin Bank Pertanian mahu memberikan satu kemegahan baru kepada institusi berkenaan sehingga mereka 'terlupa' mengenai Perkara 152.
Apa yang menghairankan saya ialah DBP juga leka dalam menjalankan peranan 'menasihati' AgroBank. Sebagai ahli antropologi sosial, saya tetap mengambil berat kegiatan yang berlaku dalam kehidupan serta persekitaran manusia dan masyarakat.
Sekiranya masyarakat Malaysia masih memandang rendah mengenai martabat bahasa Melayu, nescaya 50 tahun kelak, bahasa Melayu akan hilang di rantau alam Melayu. Sama-sama kita fikirkan natijahnya.
Oleh itu, peranan semua ahli masyarakat amat penting untuk memperkasa dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara. Justeru, DBP perlu menerima hakikat dan cabaran dihadapi dalam usaha memajukan bahasa Melayu.
Sekiranya semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum komited dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing, hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2020 pasti tercapai dengan jayanya.
DR SARJIT S GILL,
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia
BERITA HARIAN: SURAT / JUMAAT, 25 April 2008
BAHASA MELAYU,INGGERIS SAMA PENTING
TULISAN Dr Sarjit S Gill daripada Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia pada ruangan ini Jumaat lalu membuat saya terpanggil untuk melahirkan kerisauan sama mengenai kedudukan bahasa Melayu. Malah, atas isu sama sebelumnya, kupasan Prof Dr Teo Kok Seong dan Dr Sharifudin Lubis memang memerlukan perhatian umum.
Saya bersetuju dengan Dr Sarjit mengenai 'barangkali orang Melayu berminat menjadi orang putih dan tanpa mereka sedari meminggirkan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan negara.'
Ego segelintir orang Melayu yang berasakan bahasa Inggeris lebih canggih untuk digunakan dalam kehidupan moden kini memang boleh dipertikai. Tetapi pada masa sama, alasan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa juga boleh diterima.
Saya lebih berminat kepada isu yang lebih mendasar. Apa yang berlaku sekarang adalah krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu.
Sebelum berlakunya pindah-randah kosa kata bahasa dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris atas nama prestij pada era komputer ini, sebenarnya identiti bahasa Melayu itu sendiri sedikit demi sedikit terhakis.
Isu 'bahasa Melayu' atau 'bahasa Malaysia' yang acap kali bertukar ganti juga mengelirukan dan ia adalah asas kepada segala-galanya.
Apa meragukan saya, kenapa kita tidak boleh setia dengan kosa kata dalam Perkara 152 yang mengatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia. Jadi ia adalah bahasa Melayu.
Satu lagi perkara asas berlaku sebelum memberi impak kepada krisis kepercayaan adalah krisis tanggungjawab.
Saya berterima kasih kepada Ketua Sayap Putera MIC yang pada hari penamaan calon pilihan raya umum baru-baru ini yang menekankan, satu kriteria untuk menjadi wakil rakyat atau ahli politik yang baik adalah berkebolehan bertutur bahasa Melayu dengan fasih. Saya bersetuju dengannya.
Cuma, kadangkala yang terjadi bukan pemimpin tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik, tetapi menjawab soalan wartawan yang bertanya dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.
Saya maklum memang ada masanya, sidang media dibuat dalam bahasa Inggeris, tetapi jika ia dalam bahasa Malaysia secara rasmi, besarlah harapan saya untuk melihat barisan pemimpin negara dan ahli korporat bertutur dan menjawab soalan wartawan dengan bahasa Melayu yang baik dan teratur.
Saya tidak pernah menjadi individu yang antibahasa Inggeris. Kerana itu, sesiapapun menggunakan bahasa Inggeris sebagai metodologi komersial memang tidak salah, termasuk Bank Pertanian.
Kerana itu, dengan menolak isu bangsa dan tanggungjawab warga negara, AgroBank perlu dilihat sebagai satu entiti perniagaan.
Apa yang berlaku sekarang adalah ketidakpercayaan umum kepada bahasa Melayu itu sendiri dan isu ini harus diberi penekanan serius terlebih dulu.
Suatu masa dulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak mempunyai sebarang kuasa berkaitan dengan pencegahan pencemaran apatah lagi mengambil tindakan undang-undang. Tetapi, melalui evolusi kuasa yang diberi kerajaan, jabatan itu kini cukup efisien. Maka, formula sama barangkali boleh digunakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Jadi, tidak keterlaluan jika saya katakan saya melihat DBP boleh menjadi Jabatan Bahasa dan Pustaka dalam Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan barangkali pada masa depan dan diberi sedikit kuasa berkaitan dasar untuk mengembalikan identiti dan keyakinan terhadap bahasa Melayu.
MOHSIN MOKHTAR,
Bandar Jengka, Pahang.
BERITA HARIAN: SURAT / Selasa, 29 April 2008 22 Rabiulakhir 1429
