| Bashir Ishak Mon | Mar 16, 09 | 8:06:44 pm MYT | |
| ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini. "Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris," tegas A Samad. "Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris," ujar pejuang bahasa itu lagi. "Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris," kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, "Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur". Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi. Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu. "Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno," ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin. Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan. "Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa," jelasnya. Dalam pada itu, belia turut menegaskab bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan. "Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini," katanya lagi. Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program "Kembara Kasih bahasa". "Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya. "Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong," ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin. Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah. Setiausaha Potik Menteri Besar Kedah, Mohd Sanusi Mod Noor telah menyampaikan ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha GMP, Hasni Abas turut menyampaikan ucapan. Majlis juga diselang-selikan dengan bacaan puisi oleh penyajak, Pak Salleh Bakar, tokoh sastera, Azizi Haji Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim._ |
Monday, March 16, 2009
Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil
Tuesday, March 10, 2009
Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI
| Dr Awang Sariyan Mon | Mar 09, 09 | 10:24:34 pm MYT | |
| Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong. Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan. Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara. Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen. Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI. Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan. Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri). Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan. Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu? Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam. Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik. Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik. Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu. Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu. Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan. Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara. Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka. ------ Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu�China Beijing Foreign Studies University _ Selasa 10 Mac 2009 | 13 Rabi'ul Awal 1430 Hijrah/Harakahdaily.net |
Monday, March 9, 2009
Akhirnya, seniman yang selalu menang
| Faisal Tehrani Mon | Mar 09, 09 | 7:32:57 pm MYT | |
| "SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said. Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada. Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam Buletin Utama dan Buletin 1:30 (Ahad lalu) memang dangkal. Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya. Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: "Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap." Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu. Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna. Hayati sikap Datuk A Samad Said ini: 1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita. 2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki. 3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua. Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap. 4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya. 5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan. 6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan. Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan. Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak. 7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat. Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini. (Begitulah intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.) Nah, apa hubung kait dengan lelaki berkeris di atas (penulis letakkan gambar Hishamuddin Hussein dalam blognya)? Mengapa Menteri Pelajaran menafikan desas-desus yang peluangnya untuk memenangi Naib Presiden Umno terjejas ekoran bantahan rakyat terhadap PPSMI? Mungkinkah kerana sebetulnya, peluang beliau semakin menipis. Kata-kata Pak Samad: 'Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita' akan menghantui beliau. Untuk mereka yang tidak hadir sama ke acara tunjuk kasih 7 Mac lalu dengan alasan ia menjadi medan politik, sila baca alasan Pak Samad mengapa beliau ikut sama berarak di jalanraya sehingga sanggup disembur gas pemedih mata. Ingatlah kata Pak Samad, yang beri rezeki buat kita ialah Tuhan, bukan bahasa. Ini basis keimanan, serlahkan ia terhadap anak-anak. Mencontohi Pak Samad yang berani menyatakan sikap terhadap teman-temannya dalam GAPENA, saya juga ingin menyatakan sikap terhadap teman-teman pengarang: Menulis sastera Melayu tanpa menyertai perjuangan mempertahankan bahasa Melayu ,di saat ia memerlukan, adalah bacul. Kerana saat bahasa Melayu ini terkubur kelak, novel yang ditulis pun akan turut terpadam. Membiarkan bahasa Melayu dipertahankan oleh anak-anak muda dari parti politik, sedang kita menyulam pelbagai alasan untuk tidak turun padang, adalah dayus. Ini masanya, bak kata Allahyarham Usman Awang; nama kalian telah diseru, sahutlah sebelum jadi bisu. Nota Tambahan (saranan Sofwah, terima kasih!): Bagi sesiapa yang ingin menjawab blog-blog penyokong PPSMI yang semakin bercambah, saya berharap ia dilakukan dengan tenang dan rasional. Saya lihat mereka suka membuat kesimpulan: 1. Ia bermotif politik. 2. Pejuang bahasa pun cakap Bahasa Inggeris, jadi, kenapa nak tentang PPSMI? 3. Pejuang BM anti Bahasa Inggeris. 4. Anak, anak sedara, adik sedara, anak sepupu sepapat, anak dua tiga empat pupu, suka PPSMI, jadi, anak orang lain, anak sedara orang lain, adik sedara orang lain pun akan suka PPSMI. 5. Pakcik makcik sepupu sepapat dua tiga empat pupu papat mengajar Sains dan Matematik dalam BI suka PPSMI, jadi, kenapa pejuang Bahasa tak suka PPSMI? 6. PPSMI akan membantu pengajaran BI. 7. PPSMI tidak akan menganggu-gugat BM; dan banyak lagi persepsi cetek. Ternyata mereka tidak membaca sebarang kajian. Kita ingin mengingatkan pejuang bahasa bukan bodoh wahai Datuk Seri Hishamuddin, kita bertindak selama enam tahun dengan penuh kesabaran sambil melakukan kajian mendalam. Dan pihak beliau telah menutup jalan rundingan, sehingga Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang diketahui bersikap berkecuali dari segi politik telah memilih pentas politik. Saya ingin menyarankan sesiapa yang bertemu dengan blog-blog penyokong PPSMI untuk memautkan kajian/pandangan alternatif seperti contoh di bawah ini: 1. Kajian Akademik 2. Profesor Shaharir Md. Zain 3. Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik 4. Profesor-Profesor Melayu dalam Bidang Sains yang Menentang PPSMI 5. Kosmologi Bahasa 6. Menjawab Gabungan Pro PPSMI; dan meminta mereka berfikir lebih dalam lagi. Untuk penguasa, saya ingin mengingatkan yang belum ada politikus menang dalam melawan seniman. Di hujung, meski panjang jalannya - seniman selalu akan menang. - tehranifaisal.blogspot.com_ |
Pembelajaran BI patut dinilai semula
HARI ini hampir semua pihak bersuara mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan pelaksanaannya. Ada yang menyokong dan ada yang melihat ia bakal menggugat keutuhan bahasa Melayu pada masa akan datang jika diteruskan.
Kekhuatiran pihak berkenaan ada asasnya. Antaranya ialah seperti terjadi kepada tulisan jawi pada awal 1970-an. Memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu sehingga berkiblatkan bahasa ilmu terbabit, akhirnya jelas tulisan jawi hampir berkubur.
Siapa yang mahu bertanggungjawab? Sehingga kini ia seperti berkubur tanpa batu nesan, walau pun sekarang usaha Kementerian Pelajaran memperkenalkan j-Qaf wajar dipuji, berapa ramai pelajar yang boleh membaca tulisan jawi?
Apakah lagi yang hendak ditonjolkan jika setiap hari kita disogokkan dengan budaya dan ilmu dari Barat. Berbahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tidak seharusnya menidakkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri.
Kementerian Pelajaran seolah-olah berlumba-lumba mengatur program pengajaran bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik dengan memberikan elaun kepada guru yang mengajar subjek berkenaan.
Kesan yang ketara diabaikan apabila ada sekolah yang sudah pun kebanjiran guru subjek berkenaan, sehingga sekarang guru bahasa Melayu semakin berkurangan. Ia dapat dibuktikan di kebanyakan sekolah menengah, iaitu pihak sekolah kini berdepan masalah kekurangan guru Bahasa Melayu pula.
Apa langkah kementerian? Perlu diingat bahasa Melayu menjadi ancaman jika pelajar sendiri menghadapi masalah kecelaruan berbahasa. Tidak mustahil bahasa ini akan terpinggir, jika ada pihak yang 'nakal' di luar sana mencadangkan pula subjek Geografi dan Sejarah kalau boleh diajar juga dalam bahasa Inggeris.
Universiti di China dan Russia, ada pelajar mengambil jurusan bahasa Melayu, fasih berbahasa Melayu sekali pun mereka belum pernah menjejakkan kaki ke negara ini, mudahnya mereka bertutur bahasa Melayu, dan mengagumi bahasa ilmu ini.
Malah boleh berpidato dalam bahasa Melayu ketika pertembungan pertandingan pidato antarabangsa Piala Perdana Menteri di PWTC beberapa tahun kebelakangan ini. Yang salahnya kita, kerana tidak nampak kehebatan bahasa Melayu, malah secara tidak langsung semakin meminggirkan bahasa ini.
Tidak seperti bahasa Perancis, Jepun dan Korea. Mereka tidak mengagungkan bahasa Inggeris melebihi bahasa mereka sendiri. Mereka juga kalah berbanding negara Barat dari segi pengembangan ilmu.
Jadikanlah kekuatan dan kemantapan bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu. Jangan esok bila ia benar-benar terpinggir, mula menyalahkan badan bahasa di negara ini pula. Banyak istilah bahasa Inggeris atau bahasa lain diMelayukan. Saya tidak nampak bahasa Melayu memundurkan pelajar Melayu.
Malah, silapnya ialah subjek Bahasa Inggeris itulah yang wajar diperkasakan pengajarannya sehingga pelajar kita jika boleh mampu fasih bertutur. Kementerian Pelajaran wajar mengatur semula program bahasa Inggeris dengan kepakaran teknologi yang ada. Ia dapat melonjakkan penutur bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan guru.
Apa yang jelas semua bahasa adalah bahasa ilmu. Bahasa Arab, juga bahasa pilihan yang Allah SWT angkat menjadi bahasa al-Quran. Malah, Barat sendiri mengkaji al-Quran, kitab ilmuan Arab dan Nusantara zaman lampau. Mereka mengambil ilmu al-Quran saja, tetapi tidak juga mengamalkannya.
Saranan saya, pihak Kementerian Pelajaran supaya memperkasa subjek Bahasa Inggeris agar pelajar sama ada di sekolah rendah atau menegah apabila keluar dari alam persekolahan boleh bertutur bahasa Inggeris.
DAMHA,
Sandakan, Sabah.
Berita Harian : Surat/Isnin, 09 Mac 2009 | 12 Rabiulawal 1430
PPSMI: GMP nafi didalangi pihak tertentu
KUALA LUMPUR: Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) menafikan didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam usaha gerakan itu membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pengerusi GMP, Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata apa yang berlaku pada perhimpunan membantah PPSMI Sabtu lalu adalah di luar bidang kuasa GMP dan 'GMP menganggap mereka yang datang adalah untuk menyatakan sokongan mereka'.
"Tiada dalang di sebalik apa yang berlaku, kami bukan wayang kulit yang dimainkan oleh tukang cerita...yang datang (berhimpun) sebagai penyokong, saya tak mahu dikatakan boneka, ia seperti menghina (saya)," katanya pada sidang akhbar di Rumah Pena di sini, hari ini.
Hassan berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam bahawa perhimpunan Sabtu lalu didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan itu.
Perhimpunan anjuran GMP yang asalnya bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong turut disertai beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selain segelintir peserta perarakan yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.
Hassan berkata, gerakan itu bukan gerakan yang berunsurkan politik malahan mempunyai prinsip asas iaitu mengembalikan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.
Sehubungan itu, GMP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam masa terdekat sebelum Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini bagi menjelaskan pendirian gerakan itu sebagai jawatankuasa yang aman.
"Kami mahu Pak Lah selesaikan isu PPSMI segera sebelum isu ini jadi lebih berat, kami berniat baik dalam memperjuangkan prinsip mahu mengembalikan dasar lama yang tiada masalah dalam sistem pendidikan negara.
"Kita tidak menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tetapi ingin menuntut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini," katanya.
Beliau berkata, apa yang patut dilakukan kerajaan ialah mengembalikan pengajaran mata pelajaran itu dalam Bahasa Melaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan selain meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar.
Pelaksanaan PPSMI sejak 2003 mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya termasuk ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu. - Bernama
Berita Harian :Isnin, 09 Mac 2009| 12 Rabiulawal 1430
Monday, March 2, 2009
Dengarlah suara hati nurani A. Samad Said
| Abdul Shukur Haron | Foto Nasir Sudin Mon | Mar 02, 09 | 11:02:06 am MYT | |
| "Kalau ada calon (dalam pilihan raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka." Sukar untuk digambarkan bagaimanakah rupanya manusia atau kumpulan manusia yang dikatakan 'bertelinga satu, berlidah dua'. Adakah ia manusia atau manusia jadi-jadian? Adakah ia Dinasour yang membaham semua yang ada disekelilingnya? Yang nyata manusia atau pemimpin yang bertelinga satu dan berlidah dua ini sangat hodoh, menakutkan di samping menjadi bahan tertawaan. Di kampung dulu, saya sering terserempak dengan pelbagai jenis ular- ular sawa, ular tedung, ular senduk dan pelbagai ular lagi. Jenis biawak dan ularlah yang berlidah dua atau lidah bercabang. Dalam konotasi bahasa Melayu, 'lidah bercabang' ini mempunyai maksud negatif. Ia seorang yang hypokrit atau berpura-pura, dengan kumpulan ini cakap lain, dengan kumpulan itu cakap lain. Sementara itu, manusia bertelinga satu memang sukar ditemui. Namun bertelinga satupun masih boleh mendengar, kalau telinga yang satu itu benar-benar berfungsi. Kalau yang satu itupun tidak berfungsi, maka ia tidak akan mendengar apapun suara. Saya terkesan dengan phrasa ini ketika mengikuti pandangan sahabat lama saya, Sasterawan Negara A. Samad Said dalam wawancaranya yang disiarkan dalam Fikrah, sisipan akhbar Harakah baru-baru ini. Beliau sangat marah dengan pemimpin yang 'bertelinga satu, berlidah dua', ketika merujuk kepada bantahan kerasnya bersama para tokoh bahasa, penulis dan intelektual serta pelbagai NGO terhadap langkah kerajaan meneruskan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris seperti sekarang. Langkah ini, bagi A. Samad Said, adalah usaha penguncupan bahasa Melayu. Justeru itu dengan nada keras beliau berkata, "Kalau ada calon (dalam pilhian raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka." Beliau lalu bertanya, "mengapa kita pilih mereka yang mahu menguncupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan tidak mengundi mereka."Sasterawan Negara itu menyifatkan pemimpin yang mahu meguncupkan bahasa Melayu sebagai 'pemimpin bertelinga satu, berlidah dua'. Saya mengenali A. Samad A. Samad Said sejak lebih empat puluh tahun lalu semasa di Singapura. Sejak di Singapura lagi hinggalah berpindah ke Kuala Lumpur sebagai wartawan dan pengarang akhbar, saya mendapati Sasterawan Negara ini sangat prihatin teradap Bahasa Melayu. Beliau bersama rakan-rakan sasterawan/wartawan yang lain, Kris Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Asraf Haji Abd Wahab, Prof. Muhamad Haji Saleh dan lain-lain begitu gigih memperjuangkan bahasa Melayu. Bahkan, untuk puluhan tahun, melalui akhbar yang dipimpinnya serta melalui cerpen, novel dan puisinya, beliau 'membelai' bahasa Melayu dengan segala kecintaannya. Kepadanya, bahasa Melayu menjadi pentas untuk dia berkarya, menyampaikan pesan hati nuraninya. Sasterawan Negara itu begitu banyak membaca karya berbahasa Inggeris di samping mentelaah tafsir Al-Quran, Sejarah Nabi s.a.w., membaca karya Ibnu Khaldun, Al-Farabi, menekuni puisi Iqbal dan lain-lain. Dialah yang memperkenalkan dan mendorong saya dan kawan-kawan penulis membaca karya novelis Barat - Ernest Hemmingway, Joseph Conrad, Honor De Balzac, Leo Tolstoy di samping karya William Shakespeare dan lain-lain. Malah beliau juga banyak membaca karya pengarang China, India, Latin Amerika dan Arab yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu, sementara pendedahannya kepada karya sasterawan Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, Chairil Anwar, Iwan Simatupang, Idrus, Mochtar Lubis, Goenawan Muhamad, W.S. Rendra, Taufek Ismail dan lain-lain sangat luas. Perjuangan Keranda 152 Justeru itu tentu sangat istimewa, seorang sasterawan sepertinya yang sangat luas pembacaannya, khususnya dalam bahasa Inggeris, menjadi salah seorang tokoh pejuang bahasa bahasa Melayu. Justru kerana ia tahu bahawa bahasa Melayu adalah pengucapan hati nurani bangsanya. A. Samad Said sangat sedar akan tanggungjawabnya mempertahankan bahasa ibundanya walau dalam apa keadaanpun. Justru itu tentulah dia sangat kesal akan nasib bahasa Melayu yang semakin menguncup di tangan pemimpin elit politik yang berkuasa, sedangkan para pejuang bahasa dan rakyat prihatin berhempas pulas sejak puluhan tahun, mempertahankan bahasa ibunda. Saya dapat mengertikan kekecewaan Sasterawan Negara ini dan temannya yang lain berdepan dengan situasi begini, sedangkan Kongres Bahasa Melayu sudah banyak kali diadakan sejak 1952 lagi. Setiap kali Kongres tersebut diadakan, resolusinya, antara lain, usaha memperkukuh bahasa Melayu, malangnya usaha tersebut terhalang oleh tindakan elit politik. Lebih tiga puluh tahun lalu di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana saya turut menyaksikan, bagaimana para pejuang bahasa berkumpul untuk mempertahankan marabat bahasa Melayu yang mulai diabaikan. Mereka mengusung 'Keranda 152' sebagai simbolis protes terhadap langkah mminggirkan bahasa Melayu. Memimpin gerakan ini ialah Tun Syed Nasir Ismail, sementara yang turut hadir di majlis tersebut, antara lain, Kris Mas, Usman Awang, A. Samad Ismail, A. Samad Said, Asraf Abd Wahab, Tan Sri Ismail Hussein, Prof. Zainal Abidin Wahid dan para pejuang bahasa yang lain. 'Keranda 152' ialah simbolis angka dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan kedudukan bahasa Melayu dijamin menurut Peruntukan 152. Seperti terdengar suara bantahan dan puisi Usman Awang yang dibacakan pada malam bersejarah di Balai Budaya itu. Enam tahun lalu ketika pemimpin yang berkuasa memutuskan pengajaran sains dan matematik hanya dalam bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda, konon untuk memahirkan pelajar berbahasa Inggeris, para pejuang bahasa dan rakyat prihatin sekali lagi menyatakan bantahan dengan kerasnya. Namun bantahan itu seperti tidak didengar oleh 'pemimpin bertelinga satu berlidah dua' seperti kata A. Samad Said. Bagaimanapun perjuangan ini tetap diteruskan. A. Samad Said tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Tokoh bahasa dan penulis seperti Dato� Dr. Hassan Ahmad, Prof. Ismail Hussein, Prof. Shahril Muhd Zain, Dinsman, Dr. Nik Safiah Karim, Ainon Muhamad, Dinsman, Bahasa Zain, Hasni Abas, Razali Endon dan ramai lagi maju ke depan bersama meneruskan perjuangan ini. Yang menariknya, banyak NGO ikut bersimpati dengan perjuangan ini dan berganding bahu dengan GMP (Badan yang menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). Satu perhimpunan aman GMP akan diadakan Sabtu 7 Mac ini untuk menghantar memorandum ke Istana Negara, memohon memansuhkan pengarajaran sains dan matemathik dalam bahasa Inggeris. Inilah rangkaian sebuah perjuangan panjang yang disertai oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said. Seperti kata ahli falsafah, 'perjuangan tidak pernah sia-sia.' - azm _ |

