Monday, September 20, 2010

Makhluk Yang Paling Jahat Di Bawah Naungan Langit Adalah Ulamak?

Oleh ramziredang

"Bumi luas terbentang dan dihuni oleh berbagai bagai makhluk samada di atas daratan, di dalam bumi maupun di dalam lautan. Telah dikisahkan juga makhluk jin dan iblis yang jahat kerajaannya berpusat di dalam laut. Pada pandangan kita orang awam yang kurang ilmu, mungkin bagi kita makhluk yang paling jahat di muka bumi adalah iblis dan syaitan. Atau mungkin kita juga beranggapan yahudi dan nasrani adalah makhluk yang paling jahat. Tetapi lain yang telah dipesan oleh junjungan Rasulullah saw yang tersayang.

Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata: Telah bersabda Rasulullah saw:"sudah hampir sampai satu masa di mana tidak tinggal lagi daripada islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid masjid mereka tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat jahat makhluk yang ada di bawah naugan langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali.(hadis riwayat baihaqi)

Melihat kepada suasana hidup kita hari ini yang tidak tenteram, tidak selamat dan penuh dengan bala yang menakutkan, tidakkah kita terasa inilah zaman yang telah disabdakan oleh Rasullullah saw seperti hadis di atas? 'Fitnah' yang disebut oleh Rasulullah di atas adalah bermaksud 'kerosakan, dosa, bala, kehancuran umat ataupun iman umat yang tergelincir'. Kenapa ulama disebut sebagai makhluk yang paling jahat di atas mukabumi ini padahal tugas ulamak adalah sebagai pewaris Nabi?

Jelaslah kerana mereka telah menyeleweng dari tugas mereka. Bila menyeleweng dari tugas, jadilah ia dari orang yang paling mulia bertukar ia menjadi orang yang paling jahat. Umpama 'polis' tugasnya menjaga keamanan dan mencegah jenayah. Tentu sahaja polis akan disanjung dan dihormati kerana menjaga keselamatan rakyat. Tetapi jika sekiranya polis berperangai seperti penjenayah dan bersubahat dengan penjenayah, maka kucar kacirlah kehidupan masyarakat. Tiada lagi tempat bergantung dan berlindung bagi masyarakat. Maka jadilah polis dikeji dan dihina jika tidak jujur dalam melakukan tugasnya.

Firman Allah dalam surah An Nisa Ayat 105," Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)al kitab(al quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu( melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat"

Jika diambil mithalnya pada hari ini, tentulah jelas kepada kita ulama yang macamana telah menjadi pembela kepada pengkhianat. Pengkhianat yang telah mengkhianati amanah Allah dan Rasul. Lain yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul, lain pula yang mereka redha berlaku di sekeliling masyarakat. Kerana mereka, masyarakat yang jahil sentiasa berada di dalam kesesatan. Kerana ilmu mereka tidak dicurahkan dengan sebenar benarnya. Kata kata mereka tidak seiring dengan ilmu mereka. Kekadang mereka menyeru kepada kebaikan tetapi mereka tidak mencegah kepada kemungkaran. Padahal tidak dapat tidak, mereka kena dua dua, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Tidak boleh hanya salah satu. Tidak boleh hanya menyeru kepada kebaikan sementara kejahatan dibiarkan berleluasa. Lagilah teruk jika membiarkan kejahatan tetapi langsung tidak menyeru kepada kebaikan

Apa yang ada di sekeliling kita hari ini adalah, ulama yang teragak agak menyeru sikit sikit kepada kebaikan, tetapi langsung tidak mencegah kepada kemungkaran. Mereka hanya merasa tugas mereka hanya di dalam masjid. Mereka hanya merasa ilmu mereka hanya untuk orang yang suka kepada masjid. Sedangkan orang yang bergelumang dengan dosa tidak didekati dan dibimbing. Mereka langsung tidak merasa tiap dosa yang dilakukan oleh orang yang berzina, akan juga ditanggung oleh ulamak selagi mereka tidak mencegahnya. Tidakkah mereka merasa tiap teguk arak yang mengalir ditekak para peminumnya, akan juga ditanggung dosa oleh ulamak selagi mereka tidak bersungguh sungguh menyeru diharamkannya.

Mereka juga merasa aman damai bersekongkol dengan golongan yang jelas melanggar perintah Allah. Maka jadilah mereka seperti dalam firman Allah di atas,"pembela kepada pengkhianat"

Seluruh dunia Islam hari ini, samada di palestine, iraq, afghanistan, malaysia dan di mana sahaja, penuh dengan bala bencana. Umat Islam dihina, dibunuh disembelih dengan sewenang wenangnya. Seolah olah tiada lagi keberanian di kalangan umat islam menentang musuh. Tentu sahaja semua ini berlaku kerana ulamak lebih suka berdiam diri. Hinggakan ada setengah negara Islam menjemput pihak zionis masuk ke negara mereka untuk menyerang dan menyembelih umat islam. Apakah di negara tersebut tidak ada ulamak yang dilantik oleh kerajaan? Tentu ada tetapi mereka adalah ulamak yang lebih suka menjual ilmunya dengan harga yang murah. Maka tidak dinasihatinya para pemerintah supaya menjauhi yahudi dan nasrani, malah diredhainya pula para pemerintah bersekongkol dengan musuh. Ilmu mereka tidak dicurahkan secara sepenuhnya kerana takut hilang punca pendapatan. Tidak terkecuali juga ulamak di malaysia. Kekadang apa yang dilakukan oleh ulamak di Malaysia, cara hidup dan berpakaian, buat rakyat terkejut..ALAMAK!!Ulamak???

Tugas ulamak adalah berdakwah. Tetapi berapa ramaikah yang telah berjaya diIslamkan oleh ulamak kerana tugas dakwahnya? Jangankan kata hendak mengIslamkan orang kafir, sebaliknya iman orang Islam pula yang dibiarkan tergelincir dan bertukar agama. Tukar agama secara langsung dan tidak langsung. Yang tidak langsung seperti adanya perayaan perayaan yang di'sambutkeliru' dengan adat agama lain, cara hidup yang penuh hiburan dan macam macam maksiat lagi.

Dari hadis Huzaifah Ibnu Yaman ra berkata: manusia bertanya kepada Rasulullah saw tentang kebaikan sedangkan aku bertanya kepada baginda tentang keburukan kerana khuatir jangan jangan menimpaku. Maka aku bertanya: wahai Rasulullah, sebelum ini kita berada di zaman jahilliyah dan keburukan, kemudian Allah mendatangkan kebaikan ini. Apakah setelah ini ada keburukan? Baginda bersabda: ada. Aku bertanya; Apakah setelah keburukan itu akan datang kebaikan? Baginda bersabda:Ya, akan tetapi di dalamnya ada dakhanun.
Aku bertanya: Apakah dakhanun itu? Baginda menjawab: Sesuatu kaum yang mensunnahkan selain sunnahku dan memberi petunjuk dengan selain petunjukku. Jika engkau menemui mereka maka ingkarilah(jauhi dan jangan ikut mereka). Aku bertanya lagi: Apakah setelah kebaikan itu ada keburukan? Baginda bersabda : Ya, Du'atun ala abwabi jahannam(para penyeru ke pintu pintu neraka jahanam). Barang siapa yang mengikutinya, maka akan dilemparkan ke dalamnya(neraka). Aku bertanya: wahai Rasulullah, berikan ciri ciri mereka kepadaku. Baginda bersabda: mereka mempunyai kulit seperti kita dan berbahasa dengan bahasa kita.
Aku bertanya lagi: Apa yang engkai perintahkan kepadaku jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Berpegang teguhlah pada jamaah muslimin dan imamnya. Aku bertanya: Bagaimana jika tidak ada jamaah maupun imamnya? Baginda bersabda : Hindarilah semua firqah itu walaupun dengan menggigit dahan pokok hingga maut menjemputmu sedangkan engkau dalam keadaan seperti itu.

Jika kita perhatikan hadis di atas dan di teliti dengan cara kehidupan hari ini, serta membandingkan dengan ciri ciri ulamak pada hari ini, tentu dengan jelas kita dapat mengenali siapakah ulamak ulamak yang telah disebutkan oleh Rasulullah dengan jelas itu.

Maka jauhilah kita dari mereka itu kerana mereka hanya akan mendatangkan kerosakan hidup kita di dunia, dan menjerumuskan kita ke dalam neraka yang kekal abadi. Kerana merekalah Allah menurunkan bermacam macam bala. Kerana merekalah hidup yang berkah dan aman telah Allah angkat dari umat, sepertimana kehidupan kita hari ini yang penuh dengan macam macam bala dan bencana yang membimbangkan. Maka itulah ulamak yang sejahat jahat makhluk di bawah naungan langit, sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. Nauzubillah.


Dipetik daripada DetikDaily 20/9/2010 Posted on Saturday, September 18 @ 04:52:58 PDT by abu_uwais

Tuesday, June 29, 2010

Abdul Wahab Nafi Sertai UMNO

Tuesday, June 29, 2010

Aktivis Sunnah Wal Jamaah, Abdul Wahab Abdullah semalam, menafikan dirinya menjadi sebahagian daripada 40 ulama muda yang menyertai UMNO seperti yang dihebahkan media sebelum ini.

Dalam satu sidang media di sini semalam, Abdul Wahab berkata, tidak pernah mengisi sebarang borang untuk menyertai parti itu dan semuanya hanya tipu muslihat yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam UMNO yang dilihat cuba mencari publisiti untuk kepentingan politik mereka.

Menurutnya, tujuan sebenar beliau hadir ke majlis itu adalah mewakili Persatuan Al-Islah Perlis untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.
“Saya tidak tahu mengenai penyerahan borang menyertai UMNO itu, kerana saya pergi untuk tujuan lain iaitu bagi mendapatkan imej baik dalam Persatuan Islah, bukan untuk menyertai UMNO. Tetapi agenda itu disusun untuk tujuan lain.“Perkara itu seperti cuba memerangkap golongan ulama untuk menyertai parti itu,” katanya dalam sidang media menafikan penyertaan beliau dalam UMNO, di Balai Islam sekolah Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (Madi), Jejawi, di sini, semalam.Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis, Yaakub Abu Seman; Pegawai Perhubungan Awam Pas, Khairi Hassan dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Perlis, Khoo Yang Chong.

Sementara itu, Yaakub berkata, beliau kesal dengan kejadian itu kerana ada sebahagian daripada mereka yang berada di majlis itu terpedaya dengan mainan politik Shahidan.

Menurutnya, beberapa individu dari Perlis yang hadir dalam majlis itu mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tujuan lain, sebaliknya terperangkap dengan mainan politik bekas Menteri Besar itu.

“Pengaruh Shahidan semakin menurun jadi dia perlu lakukan sesuatu untuk menarik perhatian orang,” katanya.

“Sepatutnya, jika mahu berpolitik, berpolitiklah dengan cara baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, Abdul Wahab adalah tenaga pengajar di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (Madi), salah sebuah sekolah kelolaan Pas Perlis. -SinarHarian

SIDANG MEDIA 'PENAFIAN SERTAI UMNO'


Penafian menyertai UMNO bersama 40 ulama muda


Ustaz Abdul Wahab Abdullah, seorang ustaz yang hadir dalam majlis penyertaan 40 ulama muda kedalam UMNO tampil membuat penafian berhubung penyertaannya kedalam UMNO dalam sidang media khas yang di adakan di Madrasah Diniah Islamiah (MADI), semalam.
Beliau menyatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan tentang penganjuran majlis tersebut adalah untuk penyerahan borang penyertaan mereka kedalam UMNO. “Saya tidak tahu langsung tentang penganjuran majlis ini. Kedatangan kami adalah untuk membersihkan nama persatuan kami”, kata beliau.

Beliau menyatakan bahawa kehadirannya ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah untuk membersihkan nama persatuannya yang membawa aliran fahaman Wahabi yang dikatakan terlibat dengan Jemaah Islamiah.

Beliau datang bersama beberapa orang rakannya daripada Perlis. Beliau dimaklumkan rombongan mereka ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah untuk menjaga “survivor” persatuannya, Persatuan Al Islah Negeri Perlis kerana dikaitkan dengan JI.

“Saya tak pernah fikir untuk masuk UMNO dan akan diperlakukan sebegini”, kata beliau dengan nada kecewa.

Ustaz Abdul Wahab Abdullah adalah guru di Madrasah Diniah Islamiah (MADI), sebuah sekolah kelolaan Badan Perhubungan PAS Perlis. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Dewan Ulama PAS Perlis.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ustaz Saleh Adam, Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Sdr. Hairy Hasyim, YDP PAS Kawasan Kangar,Ustaz Yaakob Abu Seman, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis dan Cikgu Khoo Yang Chong, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perlis.

Petikan: http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/2010/06/panas-lagi-ulamak-nafi-sertai-umno.html

Friday, April 16, 2010

Jantung Bukan Hati

Oleh: Dr.Mohd Asri Zainul Abidin

Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.

Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.

Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.

Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!


Tuesday, February 16, 2010

Pemimpin Umno jahil fadilat hayati perjuangan Rasulullah

Salmah Mat Hussin & Hafiz Irwan
KOTA BHARU, 17 Feb: Apakah pemimpin Umno masih enggan mengakui mereka jahil agama apabila gagal membezakan fadhilat perarakan Maulidur Rasul dengan program menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w.

Menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. boleh dilakukan dengan pengkisahan kehidupan baginda melalui ceramah atau kuliah dari lahir sehingga wafat sedangkan perarakan Mualidur Rasul di atas jalan tidak mampu menghayati sirah perjuangan baginda dalam erti kata sebenar.

Namun hairannya, pemimpin Umno masih mempertahankan perbuatan tersebut yang dianggap sudah menjadi budaya dan tanpa mengira manfaatnya.

Tidak ramai sedar perarakan Mauludir Rasul sempena 12 Rabiul Awal kalendar hijrah tiada di Kelantan sejak 20 tahun lalu.

Majlis Maulidur Rasul hanya disambut di masjid-masjid atau surau dengan ceramah agama iaitu sendat dengan pengisian majlis ilmu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjelaskan perkara itu berkata, umat Islam jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa kadang-kadang tidak serupa dengan kehendak agama.

“Sebagai contoh Maulidur Nabi Muhammad s.a.w. yang disambut secara besar-besaran khususnya di negeri-negeri lain sebenarnya tidak ada sebarang fadhilat, tidak sebagaimana bulan Ramadan.

“Bulan Ramadan memang ada fadhilat dan kelebihannya, tetapi bulan Maulud tidak ada apa,” ujarnya kepada pemberita di sini.

Ekoran itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai kompromi demi politik.

Menurutnya, tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, mewujudkan suasana Islam dalam sebuah negara sebenarnya sudah dianggap maulud.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, upacara perarakan yang diadakan ketika menyambut Maulidur Rasul bukan perkara wajib bahkan sebaliknya boleh menjurus kepada perbuatan bidaah.

“Tuduhan pentadbiran Lim Guan Eng sebagai anti-Islam itu saya tidak tahu, apa yang menarik di sebalik haru-biru di Pulau Pinang dalam persoalan ini ialah Umno seolah-olah dilihat cuba mengutamakan perarakan.

“Besarnya sambutan hari Maulidur Rasul bukan pada perarakan. Nabi s.a.w. sendiri tidak pernah menuntut umatnya supaya berbuat begitu,” katanya.

Menurutnya tiada sebarang manfaat upacara perarakan melainkan penghayatan di sebalik sejarah Maulidur Rasul menjadi tuntutan Islam.

“Malangnya Umno hanya asyik membesar-besarkan perarakan daripada penghayatan, ini menunjukkan betapa cetek fahaman Umno tentang ilmu agama,” katanya.

Petikan: