SEBELUM merdeka, bahasa Melayu bertaraf bahasa kebangsaan bagi bangsa Melayu di negara ini, tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu bertaraf bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara kita yang penduduknya pelbagai bangsa dan keturunan.
Justeru, tidak timbul persoalan bahasa Melayu perlu bertukar nama atau tidak kerana hakikat sejarah sejak zaman kuno, zaman klasik (kerajaan Sriwijaya, Majapahit, Palembang, Melaka sehingga kini) itulah nama yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Rakyat England yang juga pelbagai bangsa dan keturunan juga tidak pun meminta agar bahasa 'English' itu ditukar kepada bahasa negara "England", yang juga tidak diminta rakyat Amerika, Australia dan New Zealand.
Seperti bahasa Mandarin atau Tamil dan Inggeris tidak wajar diminta menukar namanya, begitu juga bahasa Melayu tidak wajar dan tidak munasabah ditukar namanya atas apa juga alasan, apatah lagi atas alasan perpaduan.
Jika itulah alasannya, jelas secara tersurat dan tersirat semacam ada unsur tidak selesa atau perasaan `benci` jika namanya bahasa Melayu dan sebaliknya jika namanya bahasa Malaysia.
Warga negara yang rasional tidak sepatutnya membenci bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara sendiri walau apapun namanya. Hakikat sejarah dan tamadun bahasa Melayu sebagai citra dan jati diri negara ini perlu dihormati dan diterima dengan hati yang ikhlas dan terbuka.
Seperti ditegaskan, mana-mana kaum atau bangsa di negara ini tidak berhak membenci mana-mana bahasa dan atas apa juga sebab pun. Tiada 'dosanya' bahasa Melayu itu seperti tiada juga dosa bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan, Iban, Perancis, Jerman dan lain-lain untuk ditukar namanya dulu sebelum dipelajari, disayangi dan sebagainya.
Bahasa bukanlah milik mana-mana individu, tetapi milik sesuatu bangsa dan sesiapa saja yang mempelajarinya.
Dalam pada itu, kemelut bahasa Melayu di media elektronik masih belum reda, malah semakin parah. Penggunaan bahasa Melayu oleh pemimpin dan tokoh korporat yang bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris atau penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam temu bual bagi siaran berita di televisyen, semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Perkara berkaitan hal dalaman negara ini seperti isu beras, petani, keselamatan jalan raya, perkhidmatan bank juga menggunakan bahasa Inggeris, sedangkan ia berhak diketahui semua golongan di negara ini.
Alangkah baik jika pemimpin menggunakan bahasa kebangsaan negara ini yang difahami oleh semua tanpa kecuali (berbanding bahasa Inggeris yang walaupun meluas, tetapi masih terhad) dan disediakan sari kata dalam bahasa Inggeris.
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.
- BERITA HARIAN/SURAT/Sabtu, 07 Jun 2008/ 2 Jamadilakhir 1429

No comments:
Post a Comment